MELAKA: Butik Rakyat Rahmah 4.0 terus mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 pengunjung menyerbu Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar, Pulau Gadong di sini, sejak Selasa lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusof Abu Hassan berkata, kira-kira 7,500 helai pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya diagih-agihkan kepada orang ramai.
Menurutnya, sejak tersiarnya berita butik berkenaan memberikan pelbagai jenis pakaian terpakai secara percuma, RUTC Klebang Besar terus menjadi tumpuan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Orang ramai mula beratur panjang di luar pagar RUTC selepas berbuka puasa dan keadaan menjadi sesak apabila selepas solat Isyak.
“Saya tidak sangka sambutan sangat menggalakkan kerana ramai yang datang adalah kali pertama untuk mendapatkan baju kurung, kebaya, baju Melayu dan pakaian kanak-kanak secara percuma. Kebanyakan mereka yang ramai datang ke butik ini adalah kali pertama, ada yang datang dari Jasin, Merlimau, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Kuala Linggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 15,000 pakaian percuma ditawarkan kepada orang ramai terutama golongan B40 di Butik Rakyat Rahmah 4.0.
Tambah Mohd. Yusof, masih terdapat banyak pakaian untuk diberikan kepada orang ramai walaupun hanya berbaki kurang dari dua minggu sebelum tibanya Syawal.
“Kita menerima sumbangan 2,000 helai pakaian dan 300 hamper daripada seorang ahli perniagaan dari Selangor baru-baru ini. Sumbangan tersebut dapat menambah stok pakaian untuk diagih-agihkan kepada orang ramai yang kini berpusu-pusu menyerbu butik ini,” jelasnya.










