Isteri tabah urus suami hilang kedua belah kaki - Utusan Malaysia

Isteri tabah urus suami hilang kedua belah kaki

MOHD. Zawawi Zakaria (kiri) berbual dengan Asmah Adam (dua dari kiri ) mengenai keadaan suami, Morad Kassim pada program ziarah Ramadan MKN Kedah di Kampung Batu 16, Serdang, Bandar Baharu semalam. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Seorang isteri tabah menguruskan suaminya yang kehilangan kedua belah kaki akibat jangkitan kuman kira-kira tiga  tahun lalu.

Suri rumah Asmah Adam, 49, dari Kampung Batu 16, Serdang  di sini berkata, dia terpaksa menguruskan suami, Morad Kassim, 65, selepas kaki kanan dipotong pada paras lutut pada 2019 dan kaki kiri pula 2020 lalu.

Menurutnya, pada masa ini, suaminya  terpaksa bergantung kepadanya dan anak tunggal mereka, Amirshah, 17, untuk bergerak.

“Jika saya bekerja, siapa yang akan menguruskan hal di rumah terutamanya membantu suami saya ke tandas, mandi dan mengangkatnya duduk di atas kerusi roda.

“Saya dan anak lelaki perlu berada di rumah untuk menguruskan suami dan anak saya pula membantu melakukan urusan tersebut sekiranya saya keluar membeli barang keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, Mohd. Zawawi Zakaria pada program ziarah Ramadan MKN Kedah di Kampung Batu 16, Serdang di sini semalam.

Asmah  memberitahu,  perbelanjaan keluarganya bergantung kepada bantuan dari Lembaga Zakat  Negeri Kedah sebanyak RM500 sebulan. 

Katanya, pada hujung bulan ini pula, dia akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya dan anak lelaki juga melakukan kerja mencari kekabu untuk dibuat bantal dan tilam sebelum dijual kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Zawawi pula berkata, pada program tersebut, pihaknya  menyantuni lima keluarga yang tidak berkemampuan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sumbangan yang disampaikan kepada keluarga tersebut pada program ini diharapkan dapat menggembirakan keluarga tersebut menyambut hari raya seperti orang lain,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Asmah di talian 017-7875889 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0111841000082662 milik Asmah Adam. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN