Norazifa tabah hadapi pelbagai ujian anak OKU - Utusan Malaysia

Norazifa tabah hadapi pelbagai ujian anak OKU

KEADAAN Muhammad Faiz Irfan yang kini bergantung kepada mesin bantuan pernafasan setelah disahkan positif Covid-19 tahap lima selain sengsara dengan pelbagai penyakit lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu persatu cabaran yang dilalui suri rumah, Norazifa Othman, 38, bagi membesarkan anak berstatus orang kurang upaya (OKU), Muhammad Faiz Irfan, 13, yang kini disahkan positif Covid-19 tahap lima.

Menurut Norazifa, anak sulungnya itu menghidap pelbagai komplikasi antaranya dilahirkan tanpa telinga sebelah kanan, masalah usus, radang paru-paru, kekurangan oksigen dalam badan, kecacatan lelangit dan kekejangan otot.

Katanya, anaknya itu juga tidak memiliki anak tekak menyebabkannya sukar menelan makanan selain saluran pencernaan juga tidak sempurna.

“Sehingga kini Faiz Irfan yang mengalami masalah kekejangan dan otot lumpuh hanya minum susu kira-kira lapan kali sehari dan terpaksa bergantung kepada 10 jenis ubat-ubatan. Saya bertambah resah apabila dia dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Khamis lalu akibat positif Covid-19.

“Doktor menyatakan keadaannya nazak dan kini jangkitan Covid-19 berada di tahap lima. Kami buntu sekiranya berlaku apa-apa terhadapnya, kami sudah tidak ada duit simpanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Norazifa, hanya Muhammad Faiz Irfan sahaja disahkan positif Covid-19, manakala dia, suami, Mohd. Fauzi Harian, 47, dan dua lagi cahaya mata mereka berusia 14 dan tiga tahun bebas jangkitan wabak berkenaan.

Katanya, dia lega apabila mendapat tahu perkara itu kerana turut bimbang keadaan anak bongsu, Muhammad Farhan Imran yang juga seorang lagi anak syurganya yang mengalami masalah tumbesaran terbantut dan sawan sejak Disember lalu.

Norazifa memberitahu, mereka sekeluarga bergantung kepada pendapatan suami kira-kira RM1,500 sebulan sebagai penghantar makanan selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM1,100 setiap bulan.

Jelasnya, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan kos susu formula yang digunakan Muhammad Faiz Irfan dan Muhammad Farhan Imran sahaja mencecah RM3,000 setiap bulan.

“Saya terpaksa pinjam duit daripada kenalan kerana selain perlu ulang-alik ke hospital, kami juga perlu tampung perbelanjaan membeli lampin pakai buang untuk Faiz Irfan. Jika sesuatu berlaku kepadanya, saya tidak tahu lagi bagaimana situasinya dan hanya berserah kepada Allah,” katanya.

Katanya, doktor tidak menidurkan Muhammad Faiz Irfan kerana sebelum ini saluran pernafasannya sempit dan keadaan semakin buruk termasuk air kencingnya berdarah dan hanya memasang mesin untuk membantu bernafas.

“Sekiranya tiada perubahan atau pernafasannya semakin buruk, tidak ada rawatan lain kerana ia tidak akan membantu. Faiz Irfan juga tidak menunjukkan sebarang tindak balas apabila saya memanggilnya kerana doktor menyatakan keadaannya nazak,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01135-41-10001844-7 milik Norazifa atau hubungi talian 017-2629221. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN