Lelaki buta cekal jaga ibu tua, uzur - Utusan Malaysia

Lelaki buta cekal jaga ibu tua, uzur

ROSLI Jumri menjaga ibunya, Selamah Etar di rumah mereka di Kampung Sungai Tunku, Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Hilang penglihatan sejak empat tahun lalu bukan halangan buat seorang lelaki di Kampung Sungai Tunku di sini untuk terus berbakti menjaga ibunya yang tua dan uzur.

Lelaki itu, Rosli Jumri, 49, berkata, hanya dia daripada sembilan adik beradik yang masih tinggal bersama ibunya manakala adik beradiknya yang lain sudah berkeluarga dan tidak lagi tinggal bersama mereka.

Rosli berkata, mujur dirinya masih bujang dan dapat menjaga emaknya, Selamah Etar, 74, sehingga kini.

“Sebelum ini, penglihatan saya normal, boleh melihat seperti orang lain, namun, tiba-tiba tidak lagi dapat melihat disebabkan penyakit misteri kira-kira empat tahun lalu.

“Namun, pemeriksaan doktor mengesahkan saraf mata saya mengalami kerosakan sehingga menjejaskan penglihatan saya.

“Walaupun sudah tidak mampu melihat, saya terus menjaga ibu saya seperti biasa seperti menguruskan keperluan hariannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, walaupun tidak lagi boleh melihat, dia tiada masalah untuk bergerak di dalam rumah kerana sudah memahami selok-belok dalam rumahnya.

Katanya, dia menjaga emaknya yang sudah tidak begitu kuat untuk berjalan kerana uzur dan menghidap sakit pinggang.

“Emak tidak kuat untuk menguruskan keperluan harian atau hendak membuat kerja rumah, jadi, saya yang membantunya selain adik-beradik yang lain turut mengambil berat terhadap keadaan hidup kami.

“Saya bersyukur kerana dapat menjaga emak walaupun keadaan saya tidak lagi mampu melihat, saya akan terus menjaga emak,” katanya.

Menurutnya, dia mengharapkan pihak yang berkenaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan untuk dia dan emaknya kerana mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Katanya, dia menyara keperluan makan dan minum dengan mengambil upah mengutip buah kelapa sawit.

“Saya harap pihak JKM dapat melihat keadaan kami yang serba kekurangan kerana saya tidak boleh pergi ke pejabat JKM untuk membuat permohonan bantuan disebabkan saya tidak dapat melihat,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN