RAUB: Beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang semalam.
Kawasan terlibat adalah di Kampung Kuala Semantan, Kampung Batu Malim, dan Kampung Ulu Sungai.
(VIDEO) Keadaan air Sungai Lipis yang melimpah di kawasan Batu Malim di Raub, Pahang.
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Shahrulnizam Nasir berkata, ekoran itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Menurutnya, seramai 42 mangsa daripada 13 keluarga dipindahkan ke lokasi selamat bermula operasi seawal pukul 1.40 pagi.
Tambah beliau, keadaan lalu lintas turut terjejas akibat banjir kilat tersebut.
“Mangsa yang terlibat ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai, Masjid Jamek Kuala Semantan dan Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim.
“PPS Masjid Jamek Kuala Semantan membabitkan 17 mangsa daripada lima keluarga, PPS Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim satu keluarga (lapan mangsa) dan PPS Kampung Ulu Sungai membabitkan 17 mangsa dari tujuh keluarga,” katanya.
Shahrulnizam berkata. paras air Sungai Lipis ketika ini adalah 115.40 meter melepasi paras bahaya 114.80m.
“Limpahan akan berlaku di bahagian hilir Sungai Lipis berikutan hujan berterusan,” katanya. –UTUSAN ONLINE