Transformasi desa menyeluruh dalam Belanjawan 2026

Transformasi desa menyeluruh dalam Belanjawan 2026

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 dijangka memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem desa yang holistik dan inklusif bagi memastikan lebih lapan juta rakyat luar bandar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ia selaras dengan kerangka Malaysia Madani di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan memberi fokus terhadap pengukuhan pendidikan awal kanak-kanak melalui Tabika Kemas, program pra-Tahfiz serta penyediaan kemudahan untuk kanak-kanak autisme.

Katanya, Belanjawan 2026 juga dijangka menjadi pemacu transformasi desa yang memastikan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial dan taraf hidup rakyat luar bandar terus diperkukuh.

“Agenda Pendidikan dan TVET desa turut diperluas termasuk kepada pelajar tahfiz dan huffaz, bagi memastikan mereka turut menikmati peluang kemahiran dan kerjaya dalam pelbagai bidang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dari aspek infrastruktur, kerajaan akan terus memperkukuh jaringan jalan luar bandar, bekalan air bersih, elektrik serta inisiatif kelestarian seperti pemasangan lampu jalan dan panel solar di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Bagi pembangunan ekonomi desa pula, katanya, KKDW dijangka memberi tumpuan kepada transformasi Lembaga Kemajuan Wilayah untuk memperkasa usahawan luar bandar, selain memfokuskan projek-projek khusus yang menyeluruh bagi meningkatkan taraf hidup komuniti Orang Asli.

“KKDW komited memastikan setiap peruntukan Belanjawan 2026 sampai terus ke akar umbi melalui tadbir urus berfokuskan keberhasilan. Pelaksanaan akan dipandu oleh Outcome-Based Budgeting (OBB) dengan indikator pencapaian yang jelas, disokong sistem pemantauan dan pelaporan bersepadu bagi mengelak ketirisan. Selain itu, libat urus bersama komuniti setempat dan pemimpin akar umbi menjadi asas penentuan projek agar benar-benar menepati keperluan rakyat.

“Pendekatan pemantauan yang dinamik dan berkesan ini memastikan peruntukan tidak terhenti di peringkat agensi, sebaliknya diterjemahkan kepada peluang ekonomi, prasarana lebih baik dan peningkatan kesejahteraan hidup masyarakat desa,” katanya.

Belanjawan 2026 juga katanya, dijangka memberi fokus kepada pembangunan kemahiran, prasarana asas dan ekosistem keusahawanan bagi membantu golongan belia, wanita serta usahawan kecil desa meningkatkan taraf hidup.

Ahmad Zahid berkata, golongan belia akan mendapat akses lebih luas kepada latihan kemahiran dan TVET, termasuk penerapan teknologi moden dalam pertanian dan perusahaan desa.

“Golongan belia akan menikmati peluang latihan kemahiran dan TVET yang lebih luas, termasuk aplikasi teknologi moden dalam pertanian dan perusahaan desa. Wanita desa pula disokong melalui kemudahan pendidikan awal kanak-Kanak yang lebih inklusif serta persekitaran komuniti yang selamat untuk bekerja dan berniaga.

“Bagi usahawan kecil, penekanan diberikan kepada naik taraf premis, fasiliti moden dan akses pasaran lebih luas agar mereka mampu berkembang secara mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN