PASIR MAS: Seorang pemuda dari Kampung Kubang Bunut di sini, menawarkan khidmat membaiki telefon bimbit secara percuma kepada pelanggan yang tidak mampu akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
Mohd. Idris Mazlan, 38, berkata, idea menawarkan khidmat itu timbul selepas dia berjaya membaiki sendiri telefon bimbit ibunya yang rosak berpandukan video tutorial yang ditonton menerusi laman YouTube.
Katanya, dia tidak mengenakan caj kepada pelanggan tidak mampu selepas merasai sendiri keperitan akibat pandemik apabila terpaksa menutup dua kedai percetakan miliknya di Wakaf Che Yeh dan di Stadium Sultan Muhammad IV.
“Kos upah untuk membaiki telefon bimbit agak tinggi, belum ditambah kos alat ganti. Melihat kepada situasi ini, saya menawarkan perkhidmatan membaiki telefon tanpa upah kepada golongan yang memerlukan dan tidak berkemampuan.
“Mereka hanya perlu bawa alat ganti dan saya akan pasangkan secara percuma. Kalau tidak tahu bagaimana mendapatkan alat ganti, saya boleh tolong belikan dan pasang tanpa caj,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Idris memberitahu, perkhidmatan ditawarkan itu diuar-uarkan melalui status di akaun Facebook miliknya sejak kelmarin dan tanpa disangka, ia tular sehingga mendapat sambutan menggalakkan orang ramai.
“Sejak status itu tular, saya menerima lebih 100 mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mahu mendapatkan khidmat saya.
“Buat masa ini, saya belum bercadang untuk membuka semula premis percetakan saya yang terpaksa ditutup akibat penularan Covid-19. Saya beroperasi dari rumah sahaja sambil membaiki telefon dihantar orang ramai,” katanya. –UTUSAN ONLINE