Warganet perlu henti hina, maki ulama  - Mufti Kedah  - Utusan Malaysia

Warganet perlu henti hina, maki ulama  – Mufti Kedah 

SYEIKH FADZIL AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang mengingatkan warganet supaya tidak sewenang-wenangnya menghina, memaki hamun dan mengecam ulama atau tokoh agama yang mengeluarkan seruan berkaitan Islam.

Beliau berkata, tindak tanduk warganet yang berleluasa dalam laman media sosial itu adalah tidak wajar memandang golongan tersebut berada di tempat yang tinggi di sisi Allah SWT. 

“Kita semua wajar memuliakan mereka ini kerana mereka diletakkan di tempat tinggi di sisi Allah SWT. 

“Mungkin ini dikaitkan dengan akhir zaman dan kiamat kecil seperti disebut oleh Rasulullah SAW apabila golongan mulia ini dihina dan direndahkan oleh kelompok masyarakat,” katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Makan Percuma (RMP) dan Majlis Penyerahan Zakat Ayam Bismi 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Syeikh Zakaria Othman,  Pengasas dan Presiden Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), Jaffri Ahmad dan Pengarah Urusannya, Mazlina Kamarudin.

Beliau mengulas tentang tindak tanduk kurang sopan warganet dalam media sosial yang dilihat tanpa segan silu mencaci dan memaki para ulama apabila individu berkenaan memberi nasihat atau seruan tentang hukum hakam berkaitan agama dan sebagainya.

Beliau berkata, ulama itu diibarat pemimpin agama yang ingin memastikan umat Islam tidak tergelincir daripada landasan Islam dengan menyampaikan ilmu agama untuk diikuti semua.

“Itu (kecaman) satu tindakan yang tidak manis dan tidak patut kerana ilmuan ini yang berada di tempat tinggi yang diletakkan di tempat yang sebenarnya oleh Allah SWT dan al-Quran. 

“Kalau masyarakat memahami ulama ilmuan dan peranan mereka memimpin masyarakat, saya rasa mereka tidak akan melakukan apa yang mereka lakukan itu. 

“Mereka harus sedar dan hormati kehadiran golongan agama ini adalah untuk membimbing dalam mereka. Kalau tidak kerana jasa ulama tiada beza antara manusia dan haiwan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar umat Islam supaya berhenti menggunakan medium media sosial itu secara emosi sehingga tidak dapat membezakan kebaikan golongan itu.

“Kemudahan yang ada hari ini untuk mereka bertindak sewenang-wenangnya melepaskan perasaan dengan terlalu emosional sehingga mereka tidak dapat membezakan kepada siapa mereka lepaskan perasaan itu, mereka perlu sedar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.