PONTIAN: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Mohd. Faizhal Mohd. Yusof yang dipercayai keluar dari rumahnya pada 10 Februari lalu, namun, tidak pulang sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki berusia 37 tahun itu telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak keluar dari rumah mereka di Taman Indah, Jalan Parit Masjid, di sini.
Menurut beliau, polis menerima laporan kehilangan lelaki itu daripada keluarganya sehari kemudian setelah Mohd. Faizhal didapati tidak pulang ke rumah.
“Lelaki ini dikatakan mempunyai projek kebun kecil-kecilan di Pekan Nanas dan keluar untuk menemui seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘haji’ pada 10 Februari lalu.
“Isteri mangsa mengakui tidak mengenali ‘haji‘ tersebut yang ditemui oleh suaminya pada hari kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, pihaknya sedang giat mengesan lelaki itu yang tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
Katanya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi individu tersebut boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Shah Abdul Rasheed di talian 019-7578020 atau hotline IPD Pontian di talian 07-6869999 atau mana-mana balai berhampiran. –UTUSAN ONLINE