KUANTAN: Kerajaan negeri telah membatalkan kelulusan pembalakan di Bukit Makro, Maran dekat sini setelah membuat penelitian berdasarkan analisa pasca banjir dan mengambil kira kepentingan awam di lokasi terbabit.
Pembatalan itu dibuat pada 17 Januari lalu dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah pun mengarahkan segala aktiviti prapembalakan di kawasan tersebut diberhentikan.
Semua jentera yang terlibat juga telah dikeluarkan dari kawasan tersebut.
JPNP dalam kenyataannya berkata, kawasan pembalakan seperti ditularkan laman media sosial diluluskan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) seluas 40.47 hektar di atas tanah kerajaan.
Kata kenyataan itu, lokasi diluluskan di Bukit Makro tersebut tidak berada dalam kawasan hutan simpan dan semua penilaian terutama yang berkaitan dengan impak alam sekitar telah mendapat kelulusan jabatan berkenaan.
“Kerja pembalakan di kawasan itu juga belum dimulakan oleh pihak pelesen. Untuk makluman, hanya kerja-kerja awalan membersihkan jalan pengeluaran dan pembinaan matau utama di atas tanah kerajaan sahaja dimulakan.
“Namun demikian, JPNP telah mengarahkan agar ia diberhentikan semasa musim tengkujuh dan kejadian banjir di negeri ini baru-baru ini,” katanya. –UTUSAN