Industri hotel 'mati' jika tutup sempadan

Industri hotel ‘mati’ jika tutup sempadan

Shaharuddin M. Saaid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perhotelan di negara ini dijangka terjejas teruk jika pintu sempadan terus ditutup kepada pelancong antarabangsa akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Malah, sehingga kini, terdapat puluhan hotel bertaraf empat dan lima bintang telah pun gulung tikar akibat tidak lagi berdaya saing selain hanya berharap kepada pelancong domestik.

Malah, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) merekodkan sektor perhotelan tempatan kini mengalami kerugian mencecah RM350 juta untuk setiap dua minggu dan berkemungkinan jumlahnya lebih daripada anggaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif persatuan itu, Shaharuddin M. Saaid berkata, langkah ke belakang Malaysia ketika ini yang masih menutup pintu sempadan tidak sewajarnya berlaku.

Shaharuddin berkata, ketika ini, rata-rata negara luar sudah mengubah dasar mereka dan bergerak ke hadapan dengan membuka pintu sempadan bagi membolehkan sektor ekonomi terus berkembang dan memulihkan kembali pertumbuhan negara.

“Sebaliknya perkara ini berlaku di Malaysia, kita masih di takuk lama dan kekal tutup pintu sempadan. Kita perlu lihat perkara ini secara lebih mendalam. Sektor ekonomi, khususnya pelancongan akan kembali pulih jika pintu sempadan dibuka.

“Sebelum ini, Kementerian Kesihatan cakap akan buka sektor ini sekiranya kadar vaksinasi cecah 80 hingga 90 peratus, sekarang, rasanya sudah lebih dan kita juga ada dos penggalak sebagai pelindung dari Covid-19. Jadi, tunggu apa lagi?

“Kalau pintu sempadan tidak dibuka pada 1 Mac, kami sebagai pemain industri amat kecewa dengan tindakan kerajaan. Berbilion kerugian telah ditanggung sejak dua tahun lalu, kita tidak mahu perkara ini berterusan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan MPN bersetuju supaya sempadan negara dapat dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat lalu memaklumkan, pintu sempadan negara mungkin belum dibuka pada 1 Mac ini memandangkan tiada perbincangan ke arah itu dilakukan buat masa ini.

Kata Perdana Menteri, kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuka sempadan walaupun banyak membawa manfaat kepada sektor ekonomi terutama pelancongan.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, alasan Malaysia masih masih tidak bersedia tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah merangka pelbagai inisiatif sebelum ini untuk berdepan Covid-19.

“Kita (sektor perhotelan) akan terus ‘mati’ kita perkara ini berterusan. Untuk tahun ini, kita anggarkan kerugian mencecah RM350 juta untuk setiap dua minggu, itu anggaran sahaja dan berkemungkinan jumlahnya lebih,” kata Shaharuddin.

Ditanya adakah ada perbincangan MAHO dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenai perkara itu, Shaharuddin berkata, beliau sendiri telah bertanya kepada Menteri MOTAC tarikh sebenar pembukaan pintu sempadan.

“Menteri kata, perkara itu masih belum dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet namun, berkemungkinan (pintu sempadan) akan dibuka selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Saya juga sudah maklumkan masalah sektor perhotelan kepada Menteri.

“Jadi terpulang kepada Menteri untuk bawa perkara ini ke Mesyuarat Kabinet. Jika beliau memahami tentang setiap masalah yang dihadapi oleh pemain industri dibawah kementeriannya, beliau akan mesti memperjuangkan perkara ini (pembukaan pintu sempadan), ” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN