Umat Islam dilarang terbabit kerja-kerja bersihkan rumah ibadat agama lain - Utusan Malaysia

Umat Islam dilarang terbabit kerja-kerja bersihkan rumah ibadat agama lain

UMAT Islam yang diuji dengan musibah termasuk banjir akan diganjari dengan pahala atas kesabaran mereka berhadapan insiden tersebut. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. 

Itu tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) termasuk mengulas isu tular membabitkan sekumpulan pelajar  membersihkan sebuah kuil yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. 

PMWP berkata, perkara itu dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang sama sekali jelas dilarang dalam Islam.

“Membersihkan rumah ibadat adalah satu bentuk kerjasama atau bantuan yang secara langsung menjurus kepada membantu ritual dan amalan agama lain,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, Islam sama sekali tidak menegah umatnya daripada menunaikan hak kemanusiaan lain termasuk membantu orang bukan Islam yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain. 

Jelasnya lagi, umat Islam digalakkan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka (orang bukan Islam) serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan. 

Menurut PMWP, perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan. 

“Namun demikian, Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dijaga dan dijadikan sempadan bagi memelihara kesucian akidah kita,” katanya. 

Sementara itu, PMWP turut menasihatkan  masyarakat awam supaya tidak tergesa-gesa menghukum sesuatu perbuatan atau percakapan itu sebagai terkeluar daripada Islam sebaliknya merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa agama.

“Ini bagi mengelakkan fenomena bermudah-mudahan dalam kafir mengkafir sesama umat Islam sehingga mencetuskan huru hara dalam masyarakat,” katanya. 

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan beberapa penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak turut serta membersihkan kuil Hindu di Taman Kelang Utama, Klang, Selangor. 

Ada segelintir pihak mengecam tindakan pelajar itu termasuk ada yang menyifatkan ia sebagai satu perkara yang syirik serta boleh memesongkan akidah. 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang turut mengulas isu berkenaan berkata, beliau mahu isu itu tidak dipolemikkan mana-mana pihak dan tidak diperbesar-besarkan sehingga menambahkan kekeliruan orang ramai.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya