Notis ‘kayu balak yang tidak dituntut’ sebahagian daripada prosedur pembersihan - Utusan Malaysia

Notis ‘kayu balak yang tidak dituntut’ sebahagian daripada prosedur pembersihan

KAYU-KAYU balak yang dikumpul dan diletakkan tanda notis ‘kayu balak tidak dituntut’ merupakan antara prosedur pembersihan dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang. - SUMBER MEDIA SOSIAL FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Susulan tular notis ‘kayu balak yang tidak dituntut’ dan gambar dipercayai berlaku di Karak, Bentong di laman sosial Facebook hari ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesahkan ia merupakan sebahagian daripada prosedur pembersihan

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin berkata, notis berkenaan dikeluarkan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong mengikut Prosedur pelupusan kayu-kayan yang dibenarkan berdasarkan peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984. 

Menurutnya, kayu balak tersebut merupakan kayu-kayu yang dihanyutkan banjir yang berlaku di Bentong pada 18 Disember tahun lalu.

“Arahan pembersihan dikeluarkan bagi tujuan mengumpulkan kayu-kayan yang hayut itu bagi menentukan nilaianya sebelum dilupuskan.

“Apa yang kita sedang lakukan ialah mengikut prosedur sebagaimana tatacara yang dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada. 

“Jadi, pembersihan di kawasan terlibat adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya kesan banjir kali kedua yang dijangka boleh menjejaskan lagi keadaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini, tular dua keping gambar notis tuntutan kayu balak tidak dituntut dengan satu status “Kalau takde sapa yang punya, Kenapa ada notis tuntutan? Siapa yang menuntut kayu-kayu balak ni? Siap label lagi jeng…jeng….jenggggggg”. 

Status berkenaan tular di Facebook milik, Napsiah Khamis Marahan merupakan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor.

Mengulas lanjut, Mohd. Hizamri berkata, notis awam yang dikeluarkan PHD Bentong itu adalah mengikut peruntukan undang-undang yang membenarkan pelupusan untuk kayu-kayan hanyut. 

Katanya, ia terkandung di bawah Seksyen 76  Akta Perhutanan Negara 1984 yang berkaitan kayu tidak dituntut dan boleh diguna pakai dalam situasi yang berlaku di Bentong walaupun tiada pembalakan di kawasan terbabit. 

“Sekiranya ada tuntutan, penuntut perlu mengemukakan bukti pemilikan kayu tersebut kepada jabatan,” katanya. 

Namun, beliau berkata, JPNP boleh menolak tuntutan yang dibuat oleh pemilik kayu selepas membuat penilaian tertentu dengan merujuk kepada Seksyen 78(a) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Sebaliknya masih tiada tuntutan berkaitan dengan pemilikan kayu hanyut tersebut, maka pemilikannya terletak kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan pelupusan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.