Ibu berlari 100 meter cari bantuan selamatkan anak dihempap blok konkrit - Utusan Malaysia

Ibu berlari 100 meter cari bantuan selamatkan anak dihempap blok konkrit

NURUL Anis Abdul Rahman menunjukkan gambar anaknya yang maut dihempap tiang konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan semalam-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang ibu sanggup berlari hampir 100 meter demi mendapatkan bantuan penduduk kampung selepas melihat anaknya dihempap blok konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan, Semerak di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Mohammad Yusof Nor Ismail, 12, meninggal dunia manakala bapa saudaranya, Muhammad Yunus Nasir, 12, cedera selepas dipercayai dihempap blok konkrit semasa bermain pasir berhampiran rumah mereka.

Ibu mangsa, Nurul Anis Abdul Rahman, 36, berkata, dia pada mulanya cuba mengangkat sendiri blok konkrit berkenaan sebaik tiba di lokasi kejadian, namun gagal kerana terlalu berat.

“Saya kemudian berlari kira-kira 100 meter untuk meminta bantuan penduduk kampung berhampiran.

“Dengan bantuan kira-kira tujuh penduduk kampung, blok konkrit itu berjaya diangkat, namun Mohammad Yusof ketika itu sudah terlalu lemah manakala Muhammad Yunus cedera,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) di sini malam tadi.

Nurul Anis memberitahu, sebelum kejadian dia berada di rumah sebelum dimaklumkan oleh anak perempuannya, Siti Nur Amyliana, 10, berhubung insiden itu.

Katanya, Mohammad Yusof sempat menjerit Siti Nur Amyliana, 10, memanggilnya yang berada di dalam rumah untuk mendapatkan bantuan.

“Apabila saya sampai, Mohammad Yusof berada dalam keadaan lemah dan sempat berkata, ‘Ma jangan marah… saya hendak mati dah’.

“Saya hanya mampu memangku dan memeluknya sambil berharap dia terus bertahan. Anak saya (Mohammad Yusof) dan Muhammad Yunus merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu,” ujarnya.

Nurul Anis berkata, anaknya itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke HTA untuk bedah siasat.

Katanya, Muhammad Yunus pula dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi menerima rawatan lanjut.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kegembiraan seorang kanak-kanak bermain pasir bersama bapa saudaranya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dipercayai dihempap tiang konkrit dalam kejadian di Kampung Telaga Papan di sini petang tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN