PUTRAJAYA: Bermula minggu lalu, Muzium Negara di Kuala Lumpur sudah pun kembali menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong dalam enam bahasa secara percuma.
Menurut hantaran menerusi laman sosial rasmi Museum Volunteers Jabatan Muzium Malaysia, lawatan berjadual itu akan bermula pukul 10 pagi sehingga tamat waktu operasi.
Ia meliputi bahasa Inggeris yang disediakan setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu manakala bahasa Perancis pula pada setiap Selasa, Khamis dan juga hari Sabtu minggu pertama.
“Untuk bahasa Jepun, perkhidmatan ditawarkan hanya pada setiap Sabtu, namun bahasa Korea pula, ia cuma terdapat pada setiap Selasa,” jelas sekretariat Museum Volunteers.
Sekiranya pengunjung memerlukan perkhidmatan pemandu yang berbahasa Melayu atau Mandarin, tempahan khas melalui e-mel untuk notis dua minggu lebih awal diperlukan.
Begitu juga untuk pelbagai bahasa lain di samping lawatan berpandu untuk pelajar sekolah, organisasi dan kedutaan asing boleh ditempah dengan makluman diberi 14 hari awal.
Lawatan untuk program khas itu kelazimannya mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam dengan pengunjung dibawa meninjau empat ruang galeri tetap dalam bangunan.
Bagaimanapun, tambah sekretariat tersebut, perkhidmatan eksklusif tanpa bayaran itu tidak ditawarkan sekiranya program hari berkenaan secara kebetulan jatuh pada cuti umum.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung menerusi akaun sosial rasminya sama ada laman Facebook atau Instagram selain e-mel kepada [email protected].
Pasukan sukarelawan tersebut ditubuhkan secara rasmi pada 2007 lalu oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Dr. Adi Taha setelah tujuh bulan idea itu dirancang rapi.
Ia hasil maklum balas daripada pengunjung muzium berkenaan selain mengambil contoh sukarelawan dari muzium utama di Bangkok, Thailand; Jakarta Indonesia dan Singapura.
Setakat ini terdapat lebih 20 sukarelawan Muzium Negara dengan mereka semua perlu menjalani latihan intensif selama tiga bulan sebelum ditauliahkan untuk perkhidmatan itu.
Muzium ini yang terletak di Jalan Damansara, dibina pada 1959 sebelum dibuka pada 31 Ogos 1963 oleh Yang di-Pertuan Agong III, Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail. -UTUSAN ONLINE