OSLO: Erling Haaland berjaya meledak hatrik untuk meraikan gol ke-50 antarabangsa bersama Norway ketika pasukan itu membelasah Israel 5-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia, semalam.
Kemenangan bergaya itu mengekalkan rekod sempurna Norway dalam Kumpulan I dengan enam kemenangan daripada enam perlawanan, menjelang baki dua aksi menentang Estonia dan Itali di tangga kedua, yang kini enam mata di belakang dengan beraksi kurang satu perlawanan.
Perlawanan itu berlangsung dengan kawalan keselamatan ketat susulan protes yang dijangka berlaku, dengan kawasan tempat duduk sekitar kira-kira 100 penyokong Israel diasingkan daripada penyokong tuan rumah.
Peminat bola sepak Norway dilaporkan turut menentang dan melakukan protes berkenaan kebenaran Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) membenarkan Israel bermain di kempen kelayakan berikutan perang di Gaza.
Sebelum sepak mula, ratusan penyokong pro-Palestin berhimpun di luar Parlimen Norway, sebahagian besar memakai jersi pasukan kebangsaan Palestin.
Mereka berarak menuju Stadium Ullevaal sambil membawa bendera Palestin dan suar merah, dengan bangunan sekitar turut mempamerkan kain rentang solidariti dari balkoni.
Ketika lagu kebangsaan Israel berkumandang, laungan ‘boo’ bergema di seluruh stadium manakala penyokong tuan rumah mengibarkan bendera gergasi Palestin bersama kain rentang bertulis ‘Let children live’.
Norway dilandasan terbaik untuk menjejak kaki ke Piala Dunia dan mengakhiri penantian sejak tahun 1998 dan pemain muda Norway, Antonio yakin misi itu mampu direalisasikan.
“Kami masih ada dua perlawanan lagi dan semakin menghampiri Piala Dunia. Kami beraksi dengan amat baik hari ini (semalam) dan perlu menikmatinya.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi sekarang kami mahu raikan detik ini dan cuba memenangi dua lagi perlawanan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










