KEMAJUAN pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini membuka lembaran baharu dalam dunia kejuruteraan dan inovasi negara.
Perkembangan itu turut mencetuskan minat dalam kalangan golongan muda yang melihat potensi besar teknologi berkenaan sebagai pemacu utama transformasi ekonomi digital masa hadapan.
Kini hampir semua aspek kehidupan menggunakan teknologi AI sama ada dalam perancangan diet, penulisan kod, kesihatan mahupun resepi makanan.
Bekas graduan Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) Universiti Teknologi Malaysia, Muhammad Ammar Yaseer Azizan berkata, AI kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian tanpa disedari.
“Saya sering tertanya-tanya bagaimana AI dibangunkan. Dari situ minat saya mula timbul untuk memahami bagaimana sistem AI mampu memberi jawapan tepat sehingga 99 peratus.
“AI membuka ruang tanpa batas dalam pembangunan teknologi baharu. Namun, penggunaannya perlu seimbang supaya kita tidak terlalu bergantung hingga hilang kemahiran sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, minatnya terhadap AI lebih kepada mencipta berbanding hanya menggunakan, kerana kefahaman terhadap asas pembinaan AI membolehkan seseorang menghasilkan pelbagai aplikasi termasuk dalam pembangunan web, robotik dan teknologi lain.
“Dunia kini memerlukan jurutera yang bukan sahaja mahir dalam AI tetapi juga memiliki pengetahuan pelbagai bidang seperti internet pelbagai benda (IoT) dan pembangunan sesawang.
“Gabungan AI, pembangun sesawang dan IoT menjadikan seseorang jurutera lebih menonjol serta berpotensi menjadi ‘Full Stack Engineer’, iaitu individu yang memahami keseluruhan proses pembangunan teknologi,” jelasnya.
Ammar turut berhasrat menubuhkan syarikat sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menawarkan servis berasaskan AI seperti Platform as a Service (PaaS).
“Matlamat saya ialah menjadi Pembangun Kecerdasan Buatan Tumpukan Penuh (Full Stack AI Developer) yang memahami keseluruhan rantaian pembangunan AI dari infrastruktur hingga pengguna akhir serta menyumbang kepada kemajuan teknologi negara,” katanya.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, integrasi AI berpotensi menyumbang sekitar AS$115 bilion (RM485 bilion) kepada nilai tambah ekonomi negara, berdasarkan laporan Kementerian Digital 2024.
Kerajaan juga telah menetapkan aspirasi jelas untuk menjadi negara Al yang terangkum dan mampan menjelang 2030 seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026-2030 (RMK13).
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi A2TECH Sdn. Bhd., Muhamad Hazwan Abdul Hafidz berkata, beliau melihat bidang AI bukan sekadar kerjaya masa depan yang menjamin pekerjaan, tetapi sebagai teras kompetensi yang akan menentukan daya saing organisasi.
“Dunia kini memerlukan lebih ramai pemimpin yang mampu merangka model operasi berasaskan AI yang merentasi fungsi, dari rantaian bekalan hingga ke perkhidmatan pelanggan.
“Keupayaan untuk mengurus kitar hayat model, memahami tadbir urus data dan mengukur impak AI terhadap penunjuk prestasi perniagaan seperti kos unit, kualiti produk dan kepuasan pelanggan menjadi kemahiran utama,” katanya.
Beliau yang kini sedang melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang mekatronik dan kawalan automatik dari Universiti Teknologi Malaysia, mengakui risiko untuk ketinggalan amat besar sekiranya seseorang atau sesebuah organisasi gagal menguasai AI.
“Ketinggalan ini bukan sekadar isu teknologi, tetapi melibatkan kehilangan kelebihan daya saing secara struktur.
“Pesaing yang mengautomasikan proses keputusan akan menikmati produktiviti lebih tinggi dan kos operasi lebih rendah.
“Tanpa AI, organisasi terpaksa menanggung lebihan kapasiti, stok keselamatan yang tinggi, dan masa tindak balas yang perlahan.
“Dalam pada itu, risiko reputasi dan pematuhan turut meningkat apabila keputusan tidak disokong oleh data dan model yang telus. Maka, menguasai AI bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik untuk memastikan kelangsungan dan daya tahan organisasi,” katanya. – UTUSAN










