Tanah perkuburan Islam Selangor cukup hingga 20 tahun - Utusan Malaysia

Tanah perkuburan Islam Selangor cukup hingga 20 tahun

MOHD. ZAWAWI AHMAD MUGHNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Keluasan tanah perkuburan Islam di negeri ini masih mampu menampung pengebumian jenazah bagi tempoh 20 tahun akan datang walaupun berlaku peningkatan kematian ketara akibat wabak Covid-19.

Perkara itu dijelaskan, Exco Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni yang memberitahu, kerajaan negeri sudah mewartakan beberapa kawasan untuk dijadikan tapak tanah perkuburan sekiranya tempat sedia ada penuh.

“Sehingga kini terdapat 324 tapak tanah perkuburan Islam di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, sebanyak 262 tapak sudah diwartakan, empat tapak wakaf dan 76 lagi sedang dalam proses pewartaan.

“Justeru tidak timbul isu kekurangan tapak tanah perkuburan Islam selepas kematian meningkat akibat wabak pandemik, malah tapak sedia ada mencukupi dan kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memastikan kemampuan penerimaan pengebumian jenazah untuk tempoh dua dekad lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini dua tanah perkuburan Islam iaitu di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang dan Seksyen 21, Shah Alam menjadi tempat khusus untuk pengebumian jenazah Covid-19 yang dilakukan secara berpusat untuk kerajaan negeri.

Malah, Jabatan Agama Selangor (JAIS) turut menyedari keluasan tanah yang semakin berkurangan di Selat Klang sebelum memindahkan pengebumian berpusat di Johan Setia, Klang.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi turut menjelaskan tiada keperluan dalam masa terdekat untuk mencari tapak tanah perkuburan yang baharu berikutan langkah mengatasi masalah kekurangan sudah pun dirancang dan diambil tindakan.

“Saya sentiasa berbincang dengan Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad mengenai perkara tersebut, dan tapak sedia ada di seluruh negeri ketika ini adalah mencukupi,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya