GEORGETOWN: Langkah kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk menstabilkan harga barangan keperluan semasa dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran dilihat hanya mampu menyelesaikan masalah itu hanya untuk tempoh sementara.
Ini kerana menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, selagi orang tengah yang memanipulasi harga barangan masih wujud dalam rantaian pemasaran, masalah kenaikan harga barangan tidak akan dapat diselesaikan.
Katanya, CAP telah bersuara mengenai isu orang tengah itu sejak 20 tahun lalu, namun sehingga kini golongan tersebut masih menguasai rantaian pemasaran di negara ini sehingga menyebabkan pengguna terbeban.
“Apa sahaja skim kawalan harga yang dilaksanakan hanya dapat mengatasi masalah kenaikan harga barangan secara sementara.
“Peranan orang tengah dalam rantaian pemasaran bekalan makanan perlu segera dihapuskan agar pengguna tidak berterusan menjadi mangsa manipulasi harga yang dimainkan orang tengah ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan semasa dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, skim itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Disember ini membabitkan kawalan harga ke atas barangan seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.
Antara brangan terbabit adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C dan turut tersenarai kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan timun.
Menurut Mohideen, rantaian pemasaran bekalan makanan sepatutnya adalah daripada pengeluar atau penternak terus kepada pengguna, namun sebaliknya berlaku di negara ini.
“Barangan daripada pengeluar serta penternak akan sampai dahulu kepada orang tengah dan mereka yang akan mengedarkannya kepada peruncit.
“Orang tengah telah menjadi punca harga barangan dimainkan sehingga ada yang meningkat 100 peratus,” katanya.
Tambahnya, walaupun isu membabitkan orang tengah itu adalah rumit untuk diselesaikan namun kerajaan perlu segera menanganinya agar perniagaan dapat berjalan secara telus dan tidak membebankan satu pihak sahaja iaitu pengguna. -UTUSAN ONLINE