KUALA LUMPUR: UMNO menzahirkan dukacita dengan tragedi kematian Zara Qairina Mahathir yang didakwa berpunca daripada kelemahan pengendalian kes termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti diakui Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengendalian kes yang lemah itu amat mengecewakan dan menuntut perhatian serius semua pihak.
“UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melaksanakan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
“UMNO berharap proses inkues itu dapat dijalankan secara bebas, telus dan mematuhi peruntukan undang-undang demi mendapatkan keadilan sepenuhnya buat Zara Qairina,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan, AGC memutuskan agar inkues kes kematian Zara Qairina dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah.
Prosiding inkues itu bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina. – UTUSAN










