Konsep kepelbagaian ketengah 40 menu makanan laut

Konsep kepelbagaian ketengah 40 menu makanan laut

JOHARI Abdul Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif WNB Group, Mohd Firdaus Jamaluddin (dua dari kiri), pada Majlis Perasmian Bayu Seafood by White n Black, di Taman Botani Perdana, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 40 menu makanan laut diketengahkan menerusi pembukaan cawangan kelapan Bayu Seafood, dengan mengangkat konsep kepelbagaian sebagai teras perniagaan.

Pengasas WNB Group, Muhammad Firdaus Jamaluddin berkata, konsep berkenaan diperkenalkan bagi merebut peluang dalam pasaran makanan laut yang dilihat masih mempunyai ruang untuk diterokai usahawan Bumiputera.

Katanya, pembukaan cawangan itu turut didorong minat untuk meneroka cabaran baharu dalam industri makanan laut, selain melihat potensi besar bagi mengetengahkan produk makanan sebagai sebahagian tarikan pelancongan dan kepada penduduk di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu untuk pembukaan restoran kali kelapan ini, kita bawakan juga konsep berlainan dan tidak sama dengan cawangan kami yang lain.

“Apatah lagi, kami melihat peluang besar dalam pasaran makanan laut dan mahu merebut peluang tersebut dengan menyediakan fasiliti yang mewah serta premium, termasuk sajian eksklusif seperti king crab dan ikan kerapu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Perasmian Bayu Seafood di sini hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, pendekatan itu mengambil inspirasi daripada restoran Cina dengan pengalaman memilih makanan laut daripada akuarium, namun tampil dengan identiti tersendiri menerusi elemen budaya Sabah.

Malah katanya, pelanggan turut berpeluang menangkap sendiri ikan pilihan mereka sebelum dimasak, sekali gus memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih interaktif.

“Antara menu yang menjadi tarikan utama ialah king crab yang disediakan dengan tiga pilihan sos istimewa, selain pelbagai jenis ikan air tawar dan air masin,”jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Firdaus berkata, sejak tahun 2021, pihaknya menyasarkan pembukaan sebuah cawangan baharu setiap tahun sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan perniagaan.

Bagaimanapun, tahun ini menyaksikan syarikat berkenaan membuka dua cawangan baharu, masing-masing di belakang DoubleTree by Hilton dan di Taman Titiwangsa.

Dari segi sasaran pasaran, Bayu Seafood menyasarkan pelanggan daripada pelbagai kaum, termasuk masyarakat Melayu, Cina dan India, dengan menawarkan pilihan hidangan yang sesuai untuk dinikmati bersama keluarga serta rakan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihaknya menjangkakan proses mendapatkan sijil pengesahan halal rasmi dapat diselesaikan menjelang bulan depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini