Kembalikan komitmen tamatkan penularan HIV - Utusan Malaysia

Kembalikan komitmen tamatkan penularan HIV

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL (tengah) berkenan berangkat menghadiri kempen kesedaran Hari AIDS Sedunia di Masjid Darul Ulum, Wang Ulu, Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Semua pihak harus bersama-sama mengembalikan komitmen masing-masing dalam usaha menamatkan penularan HIV.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ketidaksamaan berterusan dan cabaran ekoran pandemik Covid-19 memerlukan usaha baharu untuk menamatkan HIV yang akan menjadi ancaman terhadap kesihatan awam menjelang 2030.

Baginda bertitah, HIV dan Covid-19 perlu ditangani secara bersama-sama dan semua pihak mesti memahami cabaran yang dihadapi oleh mereka yang hidup dengan HIV dalam menghadapi pandemik Covid-19 ini.

“Masyarakat dunia perlu memberikan tumpuan dan perhatian kepada mereka yang dipinggirkan akibat HIV. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan agar tumpuan diperbaharui atau dilihat semula kepada negara-negara dan populasi yang masih belum mendapat perhatian atau tercicir dalam mendapatkan tindak balas secara global terhadap isu HIV dan AIDS. 

“Ini meliputi pelbagai kumpulan mereka yang terpinggir di setiap negara, termasuklah populasi utama mereka yang berisiko tinggi,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri kempen kesedaran Hari AIDS Sedunia anjuran Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Yayasan Tuanku Fauziah di Masjid Darul Ulum, Wang Ulu di sini, semalam.

Program tersebut diadakan pada 1 Disember setiap tahun bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai wabak AIDS dengan tema kali ini ‘Akhiri Ketidaksamarataan, Akhiri Aids, Akhiri Pandemik.’

Dalam sesi berasingan, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim menyeru masyarakat meningkatkan kefahaman mengenainya pentingnya isu kesaksamaan bagi memastikan bahawa setiap kumpulan yang berisiko untuk jangkitan HIV, memiliki akses yang sama di mana-mana sahaja mereka berada.

Menurutnya, akses tersebut termasuklah melibatkan aktiviti pencegahan, ujian, rawatan dan penjagaan pengidap HIV, termasuklah vaksinasi dan rawatan berkaitan Covid-19.

Beliau turut menekankan kepada seruan untuk bertindak terhadap isu ini yang mana masyarakat perlu mengekalkan kepentingan perkhidmatan HIV yang berkualiti tinggi semasa wabak Covid-19 serta menggabungkan isu HIV ke dalam aktiviti kesihatan harian.

“Berikanlah penjagaan yang baik, menghormati hak asasi manusia dan tanpa sebarang stigma. Pastikan kakitangan adalah terlatih dan sedar tentang pencegahan dan kawalan jangkitan serta dengan menggunakan langkah yang bersesuaian. Justeru, lindungi keselamatan semua dan juga orang-orang yang disayangi,” ujarnya.

Sempena program yang  disekalikan dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-34 2021 tersebut, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,200 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya Mohammad Radzi Abdullah. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya