Dulu pelajar corot, kini Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM - Utusan Malaysia

Dulu pelajar corot, kini Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UTeM

Nurin Aris (tengah) berkongsi gembira bersama ibunya, Nor Azmah Othman, 51, (kanan) dan bapanya, Aris Tusimin, 51, (kiri) selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja serta menerima nombor plat eksklusif pada Majlis Konvokesyen Ke – 16 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Melaka. -UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) membuktikan kesukaran pembelajaran pada peringkat asasi tidak menghalangnya mencipta kejayaan membanggakan.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Nurin Aris, 24, berkata, dia sekadar mencatatkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) di bawah 3.00 semasa menuntut di Universiti Malaya (UM) pada 2015 bagi Pengajian Asasi Kejuruteraan.

Kata graduan Ijazah Sarjana Muda Teknousahawan itu, kesukaran yang dialaminya disebabkan tidak mengetahui potensi diri sebenar, selain pemikiran masih lagi dalam ruang lingkup bidang sains tulen.

“Saya datang daripada keluarga yang belajar aliran sains, bersekolah pun di sekolah sains. Oleh itu pemikiran tidak terbuka untuk memilih bidang lain.

“UTeM berjaya mengubah pemikiran saya dan memberi saya peluang kedua untuk menceburkan diri dalam bidang baharu iaitu teknousahawan. Hari ini saya telah buktikan kita boleh bangkit daripada kegagalan lalu.

“Paling penting mesti kenali dan tahu potensi diri serta jangan terikut cara orang lain belajar. Bila kita kenal diri sendiri, baru boleh maju,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UTeM kali Ke-16 di kampus induk di sini, semalam.

Seramai 2,979 graduan menerima pelbagai ijazah peringkat doktor falsafah, sarjana, sarjana muda dan diploma pada majlis yang berlangsung empat hari itu.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Chuan Chuan You berkata, dia memanfaatkan pelbagai pertandingan yang disertainya sepanjang menuntut di UTeM sebagai medan untuk belajar.

Menurutnya, pertandingan yang disertai dengan bidang pengajian utamanya tidak jauh berbeza.

“Saya banyak menyertai pertandingan pembangunan perisian sehingga ke peringkat antarabangsa. Bagi saya, pertandingan ini bukan masalah besar kerana saya boleh belajar melaluinya.

“Apa pun yang kita lakukan, buat dengan semangat dan berikan komitmen sepenuhnya untuk jayakannya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pengkalan Data) itu. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.