PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berkompromi malah melindungi mana-mana pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang terlibat dalam sebarang penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa.
Perkara ini jelas apabila Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman merekodkan sebanyak 4,347 warga PDRM telah dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan melibatkan rasuah, jenayah, dadah, syariah serta salah laku bagi tempoh tahun 2019 hingga Oktober tahun lalu.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah JIPS, Datuk Azri Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,503 orang telah pun dijatuhi hukuman pada 2019 diikuti 2020 (1,540 orang) dan awal tahun ini sehingga Oktober lalu (1,304 orang).
Kata beliau, kesalahan salah laku seperti melibatkan pelanggaran integriti adalah paling banyak direkodkan apabila 3,906 individu telah pun diambil tindakan oleh pihak jawatankuasa tatatertib sepanjang tempoh sama yang mana keputusan itu bergantung kepada enkuiri polis sebelum dibawa ke pengetahuan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.
Antara kesalahan lain yang turut diambil tindakan iaitu kes-kes melibatkan dadah apabila 213 orang telah dijatuhkan hukum mengikut undang-undang sedia ada diikuti syariah (116 orang), rasuah (38 orang) dan jenayah (74 orang).
“Bagi kes-kes jenayah, keputusan sama ada seseorang itu dijatuhi hukum atau tidak bukan keputusan pihak polis sebaliknya keputusan ini dibuat oleh pihak timbalan pendakwa raya (TPR).
“Setiap laporan yang dibuat berkaitan jenayah akan dilakukan siasatan dari sudut jenayah samada oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) manakala JIPS akan buka siasatan selari dari sudut pelanggaran tatatertib.
“Sebaik siasatan dilengkapkan perlu dibawa ke pihak TPR untuk mereka nilai sehingga berpuas hati sebelum memutuskan keputusan sama pertuduhan di mahkamah atau NFA (tiada tindakan lanjut). Saya harap penjelasan saya dapat difahami,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, kata Azri, berdasarkan rangkuman statistik bagi tempoh sama juga, sebanyak 376 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan buang kerja.
Ujar beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 147 orang telah dibuang kerja pada 2019 diikuti 2020 (135 orang) manakala tahun ini (94 orang)
“Tindakan dibuang kerja dilakukan apabila seseorang pegawai atau anggota itu didapati bersalah di mahkamah dan dikenakan tindakan penjara serta denda.
“Jika dilihat pada statistik ini, pecahan mengikut hukuman buang kerja disebabkan kesalahan-kesalahan jenayah yang dilakukan oleh polis terlibat,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, Azri memberitahu, sebanyak 18,628 aduan dan maklumat atas pelbagai kesalahan yang diterima pihaknya sejak tahun 2019 hingga Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 5,636 aduan direkodkan pada 2019 diikuti 2020 (6,388 aduan) dan 6,604 pada tahun ini.
“Aduan yang kami terima biasanya dibuat kepada petugas yang berhubung secara langsung dengan orang awam. Kebanyakan mereka tidak puas hati dengan siasatan dilakukan oleh anggota bertugas selain bersikap kurang sopan, kerja tidak ikut prosedur dan salah guna kuasa.
“Bagaimanapun,tidak semua maklumat yang disalurkan kepada JIPS adalah kes salah laku. Kalau aduan yang kita terima aduan jelas, siapa yang adu? Kita akan lihat aduan dan maklumat yang diterima itu sejauh mana perlu disaring dan perlu diteruskan untuk siasatan lanjut sebelum hukuman dijatuhkan.
“Jika terima surat atau surat layang sebagai maklumat, tapi tidak disertakan siapa yang menulisnya, itu yang kita lihat sebagai kesukaran untuk lakukan siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, berdasarkan jumlah kes, statistik dan peratusan kesalahan yang direkodkan, ia masih dalam keadaan terkawal.
Namun begitu, kata Azri, beliau tidak boleh berlapang dada atau syok sendiri kerana mengandaikan kesalahan dan aduan yang dibuat itu mungkin antara salah satu yang terkesan.
“Di dalam JIPS sendiri, terdapat enam teras utama iaitu cawangan tadbir urus dan kepolisan am, cawangan pematuhan, cawangan pengurusan aduan, cawangan siasatan perundangan dan kajian kes, cawangan risikan palang operasi dan Bahagian agama dan kaunseling yang mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan pelaksanaan tugas setiap pegawai dan anggota dilakukan dengan baik.
“Kita berusaha menimbulkan kesedaran dengan melaksanakan aktiviti keagamaan selain pelaksanaan Pelan Antirasuah PDRM 2020-2024 yang menjadi usaha polis dalam membanteras isu salah laku di kalangan warga pasukan,” jelasnya.
Jelasnya lagi, Pelan Antirasuah PDRM yang dilancarkan tahun lalu itu akan dapat mencapai matlamatnya.
“Apabila kita mengatakan kita sakit, inilah ubat yang terbaik. Maksud saya, pelan ini yang kita gubal dengan mengambil kira isu semasa yang memperlihatkan masalah governance, integriti dan isu rasuah dalam PDRM. Kita setuju ini sakit kita dan ubat yang telah dibancuh dan dimakan.
“Harapan kita agar ubat ini akan menunjukkan keberkesanan dan hanya boleh diukur melalui maklum balas dalaman dan publik yang mengesahkan sama ada sudah sembuh atau belum,” katanya. -UTUSAN ONLINE