IPOH: Selama lebih 20 berkahwin dan dijaga dengan baik oleh isterinya, seorang lelaki yang mengalami masalah penglihatan, sedih kerana tidak dapat menjaga isterinya yang sakit baru-baru ini dan kini terlantar.
Lelaki itu, Chan Kwai Kee, 68, berkata, selama ini isterinya, Poon Kam Lin, 64, menjaganya kerana dia mengalami masalah penglihatan.
Katanya, mereka telah berkahwin lebih 20 tahun dan tidak mempunyai anak.
“Isteri saya memang menghidap penyakit kencing manis, kolesterol tinggi dan darah tinggi. Selama lebih 20 tahun berkahwin, dialah yang menjaga saya.
“Namun baru-baru ini isteri saya secara tiba-tiba terlantar akibat penyakit yang dihidapinya.
“Saya sedih dan kecewa kerana tidak dapat mampu menjaga isteri saya kerana keadaan saya yang cacat penglihatan mata kiri sejak lahir.
“Malah sekarang mata kanan saya pun sudah rosak sejak enam tahun lalu, saya hanya nampak bayang-bayang sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Hiburan, Ulu Kinta dekat sini baru-baru ini.
Kwai Kee berkata, sebelum ini dia sudah menyedari kesihatan isterinya semakin kurang baik apabila isterinya lupa nombor pin kad mesin pengeluar wang automatik beberapa minggu lalu sebelum akhirnya terlantar.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia tidak pilihan selain terpaksa meminta bantuan pihak yang berkenaan untuk menjaga isterinya yang sakit dan terlantar.
“Saya berharap ada pihak yang sudi menjaga isteri saya seperti rumah kebajikan atau rumah orang tua-tua.
“Saya tak mampu untuk menjaga isteri saya dengan keadaan saya begini,” katanya.
Sementara itu, keadaan pasangan suami isteri itu mendapat perhatian Biro Pengaduan MCA Perak yang mengunjungi pasangan suami isteri itu baru-baru ini.
Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berharap ada pihak yang menyalurkan bantuan kepada pasangan itu terutamanya rumah orang tua-tua.
Orang ramai yang ingin membantu pasangan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Guo Nan di nombor telefon 012-5321128. -UTUSAN ONLINE