TELUK INTAN: Sepasang suami isteri di Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai di sini tidak menyangka mereka terperangkap dalam kejadian air pasang besar yang melanda di jalan masuk kampung mereka hari ini.
Mustapa Muhamaddin, 29, dan isterinya, Moorizwana Zulkifli 33, tidak dapat meneruskan perjalanan balik ke rumah menggunakan kereta disebabkan laluan masuk ke kampung mereka dinaiki air.
Ini menyebabkan Mustapa terpaksa menggendong isterinya meredah air yang menaiki jalan sejauh kira-kira 100 meter untuk balik ke rumah mereka.
Menurut Mustapa, dia tidak menyangka jalan masuk ke kampungnya dinaiki air akibat fenomena air pasang besar yang melanda kampungnya pagi ini.
Katanya, sebelum itu semalam dia dan isterinya keluar rumah pada malam untuk bersiar-siar di bandar Teluk Intan sempena cuti umum Deepavali hari ini.
Jelasnya, apabila hendak pulang ke rumah pagi ini, dia terkejut apabila mendapati jalan masuk ke kampungnya dinaiki air sehingga tidak boleh dilalui kereta.
“Saya dan isteri lama menunggu dengan harapan air surut, namun paras air tetap sama. Kami bimbangkan anak-anak di rumah kerana difahamkan kawasan rumah saya juga dinaiki air.
“Anak juga kelaparan, makanan sudah dibeli. Kerana tiada pilihan saya menggendong isteri meredah air untuk kami meneruskan perjalanan ke rumah. Saya berbuat demikian untuk mengelak isteri saya terpijak benda tajam seperti kaca atau terjatuh dalam lubang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, air naik sehingga ke kampungnya disebabkan fenomena air pasang besar dipercayai dari Sungai Batang Padang yang terletak berhampiran kampung itu.
“Kami tak sangka air pasang besar berlaku sehingga ke kampung malah parasnya agak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Beberapa kawasan di bandar Teluk Intan dinaiki air pagi ini berikutan fenomena air pasang besar.
Tinjauan mendapati beberapa buah premis perniagaan di bandar ini yang terletak berhampiran Sungai Perak dinaiki air.
Air dikatakan mulai naik dan melimpahi tebing sungai mulai pukul 4 pagi ini dari Sungai Perak, Sungai Batang Padang dan Sungai Bidor.
Turut dinaiki air ialah bangunan Pejabat Pos Teluk Intan di sini. -UTUSAN ONLINE