Penduduk mahu terus pertahan Bukit Tarek - Utusan Malaysia

Penduduk mahu terus pertahan Bukit Tarek

PENDUDUK Ahmad Kasar Ismail berjalan di hadapan tinggalan rumah kuda miliknya yang usang di Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Biarpun 30 tahun tiada kemudahan asas, namun, penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek Mukim Ulu Yam mahu terus mempertahankan kawasan berkenaan daripada jatuh kepada pihak lain.

Antaranya, Shariffah Fajariah Syed Aman Shah,71, dia akan terus memegang janji arwah suaminya untuk menjaga tanah dan rumah yang dibina bersama supaya dapat terus dinikmati pewaris mereka.

“Bukan sayangkan harta, tetapi perjuangan bersama suami yang saya kenang. Sebelum ini, saya memang tidur di sini bersama arwah, kami rancang nak habiskan sisa hidup kami di sini, sebab tanah Bukit Tarek ini satu kawasan yang menenangkan.

“Tetapi arwah sudah tiada, arwah minta saya jaga tanah ini baik-baik. Jangan sampai jatuh ke tangan orang lain. Sekarang saya seorang diri. Kadangkala saya ditemani anak dan cucu untuk bermalam di sini,” ceritanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan hampir 30 tahun penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya.

Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, mengimbas kisah 20 tahun lalu, Shariffah menambah, walaupun arwah suaminya bukan Ahli Jawatankuasa Kampung Melayu Bukit Tarek, namun, keramahan arwah dan kerap melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti membersihkan kawasan sekitar membuat kampung ini ‘hidup’.

“Kalau dapat, saya mahu dan akan habiskan sisa hidup saya dengan kenangan bersama arwah di sini,” luahnya.

Shariffah adalah penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek generasi pertama yang menerima geran daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo selepas mendapati mereka sudah tinggal di kawasan berkenaan lebih 20 tahun.

Rokiah Mohd Arriff, 63, berkata, dia terpaksa berkongsi wang dengan jiran untuk membina telaga bagi mendapatkan bekalan air di sini.
“Kami beberapa orang bina telaga sedalam 7 meter untuk mendapatkan air.

“Sebenarnya di sini tidak susah untuk dapatkan air sebab Kawasan Bukit Tarek adalah kawasan tadahan hujan, cuma bila tiada keperluan air yang normal seperti orang lain, kita kenalah bina telaga,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN