TEHERAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mendakwa serangan terhadap tapak nuklear Iran baru-baru ini memberi kesan besar, sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk keterlaluan yang disengajakan.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen semalam iaitu kemunculan pertamanya sejak tamatnya konflik 12 hari antara Iran dan Israel, Khamenei memuji apa yang digambarkannya sebagai “kemenangan terhadap Israel” dan berikrar tidak akan tunduk kepada tekanan dari Washington. Beliau juga menegaskan AS telah menerima “tamparan yang memalukan” daripada Iran.
“Presiden AS membesar-besarkan situasi secara luar biasa. Jelas sekali, beliau memerlukan sensasi sedemikian,” kata Khamenei.
Sebaliknya, beliau menegaskan serangan tersebut tidak memberi kesan yang ketara terhadap kemudahan nuklear Iran.
Namun, Trump tetap mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa serangan udara menggunakan pengebom B-2 AS telah menyebabkan kemusnahan besar terhadap kemudahan penting, termasuk tapak pengayaan uranium di Fordo.
Melalui hantaran di platform Truth Social, Trump menolak spekulasi Iran sempat memindahkan uranium yang telah diperkaya sebelum serangan berlaku. Beliau turut mendakwa imej satelit yang menunjukkan kehadiran trak di tapak tersebut adalah bukti Iran cuba melindungi fasiliti berkenaan dengan menuangkan konkrit di sekelilingnya.
Khamenei bagaimanapun menafikan semua dakwaan itu dan menegaskan “Republik Islam telah menang” serta menyifatkan tindak balas Iran sebagai satu tamparan hebat terhadap AS.
Kedua-dua pihak, Israel dan Iran, mendakwa meraih kemenangan dalam konflik dua minggu itu. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkannya sebagai “kemenangan bersejarah,” manakala Khamenei menegaskan serangan balas peluru berpandu Iran telah membawa Israel ke ambang kehancuran.










