Trump dikecam samakan serangan di Iran dengan tragedi bom atom Jepun

Trump dikecam samakan serangan di Iran dengan tragedi bom atom Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menerima kecaman hebat selepas menyamakan serangan terbaharu AS terhadap Iran dengan pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua.

“Itu adalah serangan yang menamatkan peperangan. Saya tidak mahu gunakan contoh Hiroshima, saya tidak mahu gunakan contoh Nagasaki, tetapi pada dasarnya ia hampir sama,” kata Trump kepada wartawan pada Rabu.

Sekitar 140,000 orang terbunuh apabila AS menggugurkan bom atom ke atas dua bandar di selatan Jepun itu pada Ogos 1945.

Ramai yang terselamat masih hidup dengan trauma psikologi dan risiko tinggi menghidap kanser hingga ke hari ini.

Datuk Bandar Nagasaki, Shiro Suzuki meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan itu.

“Jika kenyataan Trump itu bermaksud membenarkan pengguguran bom atom, ia amat dikesali bagi kami sebagai sebuah bandar yang pernah dibom,” katanya.

Kenyataan Trump turut dianggap tidak boleh diterima oleh Mimaki Toshiyuki, seorang mangsa bom atom yang terselamat dan juga Pengerusi Bersama Kumpulan Advokasi Anti-Nuklear Nihon Hidankyo, yang pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan.

“Saya benar-benar kecewa. Yang tinggal dalam diri saya hanyalah kemarahan,” kata seorang lagi ahli kumpulan itu, Teruko Yokoyama, dalam laporan oleh Kyodo News.

Sebagai tanda bantahan, para mangsa terselamat daripada serangan bom atom itu mengadakan tunjuk perasaan di Hiroshima dan menuntut agar Trump menarik balik kenyataannya.

Ahli Parlimen di Hiroshima turut meluluskan satu usul khas menolak sekeras-kerasnya sebarang kenyataan yang cuba mewajarkan penggunaan senjata nuklear tersebut.

Mereka juga menyeru agar konflik bersenjata diselesaikan melalui jalan damai.

Ketika ditanya sama ada Jepun akan membuat aduan rasmi terhadap kenyataan Trump, Ketua Setiausaha Kabinet, Hayashi Yoshimasa berkata, Jepun telah berkali-kali menyampaikan pendiriannya kepada Washington berkenaan isu penggunaan bom atom.

Kenyataan Trump pada Rabu itu dibuat bagi menepis laporan risikan yang bocor mendakwa serangan AS ke atas Iran hanya melambatkan program nuklear Teheran selama beberapa bulan sahaja.

Trump sebaliknya menegaskan serangan itu telah ‘menghancurkan sepenuhnya’ program tersebut dan melambatkan kemajuannya selama beberapa dekad, dakwaan yang turut disokong oleh Pengarah CIA, John Ratcliffe.

Jepun merupakan satu-satunya negara di dunia yang pernah dilanda serangan nuklear, dan peristiwa pengeboman Hiroshima serta Nagasaki terus menjadi memori yang menyakitkan dalam sejarah negara itu.

Di Hiroshima, ‘api keamanan’ yang menjadi simbol penentangan Jepun terhadap senjata nuklear terus dinyalakan sejak tahun 1960-an hingga kini, manakala jam yang menunjukkan bilangan hari sejak serangan nuklear terakhir di dunia dipamerkan di pintu masuk muzium perang.

Setiap pemimpin dunia yang melawat Hiroshima juga diminta untuk melipat burung kertas origami sebagai simbol komitmen mereka terhadap keamanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN