Aktiviti sukan lasak Via Ferrata Kota Gelanggi 'pulih' - Utusan Malaysia

Aktiviti sukan lasak Via Ferrata Kota Gelanggi ‘pulih’

SEORANG pengunjung sedang melakukan aktiviti zipline sambil memegang Jalur Gemilang di pusat rekreasi Via Ferrata Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kebenaran rentas negeri disusuli pembukaan pusat rekreasi dan riadah memberikan peluang peminat sukan ekstrem kembali beraksi setelah hampir dua tahun suram akibat penularan pandemik Covid-19 serta pematuhan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga menarik nafas lega dan perasaan gembira dalam kalangan pengusaha dan penggiat pusat sukan atau aktiviti ekstrem di Pahang kerana dapat beroperasi semula berasaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Via Ferrata Tasik Hati Kota Gelanggi, Wan Ruhaiza Wan Daud berkata, pusat rekreasi itu mula menerima kunjungan peminat sukan ekstrem untuk mengisi waktu cuti dan hujung minggu sejak dibuka bulan lalu.

Menurutnya, kini kawasan itu dibanjiri ramai penggiat dan peminat sukan lasak pada setiap hari dan hujung minggu untuk menyertai aktiviti mendaki via ferrata (laluan gunung yang merangkumi beberapa siri anak tangga (besi), rel dan kabel yang melekap pada permukaan batu), zipline, berkhemah dan berkayak serta berenang di Tasik Hati.

“Kawasan riadah ini asalnya daripada sebuah kuari yang terbiar sejak 1991 lalu saya bangunkan untuk kemudahan aktiviti mendaki, zipline dan berkayak di tasik berdekatan memandangkan gua batu kapur Kota Gelanggi sangat berpotensi untuk dimajukan bagi bidang sukan ekstrem dan pelancongan.

“Lerengan bukit batu kapur ini yang membentuk via ferrata amat sesuai untuk aktiviti pendakian setinggi 200 meter antara yang tertinggi di Malaysia, manakala zipline sepanjang 202 meter dengan ketinggian 50 meter cukup mengujakan peminat dan pengunjung,” katanya di sini semalam.

Menurut Wan Ruhaiza, penggiat dan peminat sukan ekstrem juga boleh menyertai aktiviti berkayak dan berenang di Tasik Hati berdekatan bukit batu kapur berkenaan yang berkeluasan 25×25 meter serta kedalamannya kira-kira lima meter.

Katanya, pengunjung yang menyertai aktiviti di pusat rekreasi tersebut dibantu oleh lima orang tenaga sukan ekstrem yang mahir dan berpengalaman serta penggunaan peralatan yang lengkap untuk mendaki, kayak, jaket keselamatan dan sebagainya.

“Semua aktiviti ekstrem di sini di bawah peraturan SOP dengan memastikan pematuhan penjarakan fizikal, saringan suhu badan, catatan buku kehadiran atau cerapan MySejahtera berasaskan amalan norma baharu yang juga dipantai oleh pihak berkuasa beruniform,” katanya.

Selanjutnya Wan Ruhaiza menjelaskan tambahan daripada pakej rekreasi di Via Ferrata Tasik Hati itu, dia juga menawarkan aktiviti eksplorasi Gua Bersejarah Taman Warisan Kota Gelanggi, berkayak sejauh lapan kilometer di Sungai Pahang dan perkhemahan berdekatan gua batu kapur tersebut.

Beliau bersyukur kerana kebenaran rentas negeri dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19 ini membolehkan semua penggiat sukan ekstrem kembali bernafas semula malah keselesaan bagi peminat dan pengunjung yang ‘bosan’ akibat lama memerap di rumah hampir dua tahun dapat kembali aktif semula.

Ujarnya, peminat sukan lasak dikenakan bayaran penyertaan untuk kategori, iaitu Pakej Pertama bagi semua aktiviti sebanyak RM125, manakala bagi Pakej Perseorangan bolehlah memilih aktiviti tertentu juga kadar bayaran berpatutan dengan menghubungi Wan Ruhaiza menerusi menerusi talian 0199885670 atau alamat email [email protected]. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya