BALING: Wanita warga emas ditemukan mati dalam rumahnya di Kampung Berjaya, Kuala Pegang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat tersebut pada pukul 12.41 tengah hari.
Menurutnya, polis menemukan mayat Rusnah Abu Hassan, 61, dipercayai meninggal dunia sejak lima hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya telah berbau
“Polis turut menemukan anaknya seorang orang kelainan upaya (OKU), Tengku Rose Mawar Tengku Saiful Munir, 21, di sisi mayat ibunya dalam keadaan lemah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk bedah siasat punca kematian manakala anaknya pula dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sehingga dapat mengetahui puncanya kematiannya.
Sementara itu, jiran mangsa, Ismail Salleh, 60, berkata, dia kali terakhir bertemu dengan wanita itu pada Jumaat lalu apabila mangsa memintanya belikan makanan serta ubatan.
“Saya tidak menyangka dia meninggal dunia lima hari lalu kerana nampak keadaan di halaman rumahnya biasa sahaja, dan ada juga dengar anaknya yang OKU itu sering menangis kerana dia tidak dapat bercakap.
“Wanita itu ditemukan mati apabila seorang penghantar barangan yang mahu menghantar barang dipesan oleh mangsa dan mengajak salah seorang anak jiran menemaninya untuk membuka pintu rumah itu,” katanya.
Tambahnya, selepas membuka pintu yang tidak berkunci itu, mereka terkejut apabila melihat mayat warga emas terbaring dan anaknya yang OKU berada di sisi. -UTUSAN ONLINE