Lelaki dilaporkan hilang dalam kebun kelapa sawit - Utusan Malaysia

Lelaki dilaporkan hilang dalam kebun kelapa sawit

OPERASI pencarian lelaki hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap dekat Teluk Intan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki dipercayai mengalami kemurungan dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Alor Bakong, Langkap di sini, sejak kelmarin.

 

Lelaki berusia 36 tahun itu keluar dari rumahnya di Taman Desa Maju Perak, Langkap dipercayai secara bersendirian dengan menunggang motosikal.

 

Kehilangan lelaki itu disedari isterinya kira-kira pukul 1 petang hari yang sama sebelum wanita itu dimaklumkan oleh abang mangsa yang menjumpai motosikal dan telefon bimbit adiknya di kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong, semalam.

 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan polis mengenai kehilangan lelaki itu diterima pihaknya semalam dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

 

“Siasatan awal mendapati, lelaki itu mengalami kemurungan sejak sebulan lalu dan mendakwa selalu terdengar suara bisikan.

 

“Lelaki yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak itu juga didakwa mula bercakap seorang diri semasa di rumah,” katanya di sini hari ini.

 

Menurut beliau, tempat motosikal lelaki itu dijumpai kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

 

Katanya, lokasi pencarian melibatkan kawasan yang sangat luas iaitu kira-kira 80 hektar dan bersambung dengan Hutan Simpan Chikus.

 

“Usaha mencari lelaki itu dijalankan secara menyeluruh di tempat kejadian dengan penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya