ARAU: Meskipun berulang kali dipujuk, namun sebanyak 26 guru di negeri ini masih degil enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang sesi persekolahan secara bersemuka pada Isnin ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, mereka masih menggunakan atas alasan sendiri tidak mahu menerima suntikan tersebut.
Justeru, katanya, guru-guru terbabit tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka dengan pelajar di sekolah.
“Habis pujuk dah..namun, mereka (26) guru masih enggan menerima suntikan vaksin. Masing-masing mengatakan mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu menerima suntikan tersebut.
“Pelbagai pendekatan telah dilakukan di peringkat Jabatan Pendidikan bagi memujuk guru-guru tersebut namun mereka masih enggan,” katanya.
Tambah Rozieana, menjelang pembukaan semula sekolah, sebanyak 4,629 daripada keseluruhan 4,655 guru di negeri ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin.
Katanya, tenaga sokongan sekolah pula sebanyak 98 peratus sudah lengkap menerima suntikan vaksin dan kebanyakkan mereka tidak ada masalah mengenainya.
Dalam pada itu, Rozieana menasihat ibu bapa tidak bimbang membenarkan anak ke sekolah bagi meneruskan pembelajaran secara bersemuka itu.
“Ikut prosedur operasi standard (SOP) manakala pelajar tingkatan 5 dan 6 bergilir-gilir ke sekolah, jadi tidak berlaku kesesakan,” katanya.
Sebagai rekod, sebanyak 23,100 individu berusia 12 sehingga 17 tahun di negeri ini dengan setakat semalam, sebanyak 13,787 atau 59.7 peratus selesai menerima dos pertama vaksin manakala 96 individu lengkap vaksinasi.
Bagi pelajar yang belum menerima suntikan vaksin tersebut setakat semalam, adalah sebanyak 9,309 individu atau 40.3 peratus.
Proses vaksinasi diteruskan di Dewan 2020 di sini bagi mereka menerima suntikan melalui pendaftaran di dalam Mysejahtera, ‘walk in’ serta pelajar berusia 12 tahun ke atas. -UTUSAN ONLINE