Basikal klasik nostalgia buat Pak Nasir - Utusan Malaysia

Basikal klasik nostalgia buat Pak Nasir

MOHD. Nasir Abdul Wahab menunjukkan koleksi basikal klasik miliknya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Sri Ulu Bendul, Kuala Pilah baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Bagi penduduk di sekitar Ulu Bendul, Kuala Pilah, mereka pasti mengenali Pak Nasir atau Mohd. Nasir Abdul Wahab, 60, lelaki yang sering dilihat mengayuh basikal tuanya sama ada untuk ke kebun tanaman ataupun menoreh getah.

Sebenarnya, Mohd. Nasir mempunyai kira-kira 20 buah basikal klasik yang menjadi koleksi berharga dan setiap daripadanya mempunyai nilai nostalgia tersendiri.

Menurutnya, dia mula meminati basikal klasik selepas arwah bapanya, Abdul Wahab Taib memberikan sebuah basikal tersebut.

“Saya sudah minat basikal klasik ini apabila melihat orang membawanya ke kebun getah. Melihat saya sangat meminati basikal itu, arwah bapa kemudian memberikan saya sebuah, apabila saya melihat orang mengayuh basikal tua, memang cukup nostalgia.

“Sehingga kini saya mempunyai 20 buah basikal klasik dan kesemuanya masih boleh digunakan, lapan buah basikal klasik berjenama Raleigh dari England yang masih dalam simpanan dan salah satunya saya gunakan untuk dibawa bagi menoreh getah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Taman Sri Ulu Bendul di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Nasir yang merupakan ahli Kelab Basikal Tuo Soghomban berkata, basikal klasik kini semakin kembali mendapat permintaan termasuk dalam kalangan pengumpul barangan lama jadi tidak hairanlah harga kini semakin tinggi.

“Memang agak sukar untuk mencari alat ganti basikal klasik, kalau ada pun mestilah harganya juga agak tinggi namun kadang kala ada juga dijual di kedai besi buruk dan boleh diperoleh dalam kalangan peminat basikal klasik itu sendiri.

“Apakan daya barang yang lama memang klasik dan sukar ditemui daripada situ saya menjaga basikal ini dengan sebaik mungkin kerana semakin hari harganya memang tidak masuk akal,” katanya yang turut memberitahu harga sebuah basikal klasik boleh mencecah sehingga RM5,000 sebuah.

Jelasnya, semua basikal yang dimilikinya itu sudah tidak dihasilkan lagi malah ada syarikat yang sudah menghentikan pengeluaran basikal mereka.

“Kebanyakan basikal yang saya miliki ini sebenarnya sebelum ini sudah lama terbiar, berkarat dan ada dijual sebagai besi buruk. Kebanyakan bahagiannya juga ada yang sudah rosak namun saya memperbaiki semula dan mengumpul semuanya semula di rumah,” katanya lagi.

Mohd. Nasir dalam pada itu turut menasihatkan kepada sesiapa yang mempunyai basikal klasik supaya dapat terus menjaganya seperti khazanah lama yang sangat berharga.

“Walaupun ada yang kelihatan seperti besi buruk namun ia sangat berharga, ia tidak banyak lagi di mana-mana malah bagi saya sendiri ia cukup sentimental, mempunyai nilai yang sangat tinggi,” katanya yang seringkali menyertai acara kayuhan basikal klasik berkumpulan di merata-rata tempat. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya