6 syarikat telco tawar pakej internet dan peranti pelajar, remaja - Utusan Malaysia

6 syarikat telco tawar pakej internet dan peranti pelajar, remaja

ANNUAR Musa menyampaikan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia kepada pelajar, Muhammad Alif Azri (kanan) di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula esok, remaja dan pelajar boleh menikmati Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia ditawarkan oleh enam syarikat telekomunikasi untuk tempoh enam bulan sehingga 15 April tahun depan. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif dilaksanakan kerajaan ini bagi membantu golongan tersebut memperoleh akses internet dan mereka yang kurang berkemampuan, memiliki peranti pintar mampu milik. 

Menurutnya, ia ditawarkan syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL malah, inisiatif itu bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada internet pada harga berpatutan.

“Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk remaja serta pelajar termasuk pascasiswazah dan dengan hanya RM10/sebulan (dibayar untuk tiga bulan/RM30), mereka akan mendapat data 20GB (Gigabyte merujuk kapasiti storan data) untuk tiga bulan. 

“Selain itu, turut diberikan data 1GB (jumlah 90GB) percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari serta internet asas tanpa had. Jadi dengan pakej ini, pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari internet,” katanya pada sidang akhbar pelancaran pakej tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta aktiviti bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data. 

“Untuk data 20GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti muat turun video atau permainan dalam talian. Ia boleh membantu pengguna untuk merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan,” ujarnya. 

Mengenai Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Annuar berkata, ia membolehkan rakyat memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan Voice over Long-Term Evolution (VoLTE) secara percuma. 

“Teknologi VoLTE ini membolehkan pengguna menikmati panggilan yang berkualiti tinggi di rangkaian 4G. 

“Peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan. Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau berharap melalui penyerahan pakej-pakej ini kepada pelajar, remaja dan golongan kurang berkemampuan, ia bukan sahaja dapat membantu mereka menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan memanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan produktiviti.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.