Halaman rumah kitar semula Mak Dara - Utusan Malaysia

Halaman rumah kitar semula Mak Dara

ROHANI Mokhtar menunjukkan landskap halaman rumahnya yang dihias menggunakan barangan terpakai sejak 23 tahun lalu keitka ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kemin Tanjung, Jelebu, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Memasuki halaman rumah Rohani Mokhtar, 59 atau dikenali dengan panggilan Mak Dara di Kampung Kemin Tanjung, dekat sini pasti memberikan pengalaman unik.

Apa tidaknya, hasil kreativiti Mak Dara telah mengubah landskap halaman rumahnya begitu menarik hanya dengan menggunakan barangan kitar semula yang telah diubah suai.

Rohani berkata, pada awalnya ramai mengatakan apa yang dilakukannya membazir, tetapi dia tidak menghiraukan kerana apa yang dilakukan kerana minat.

“Saya tidak hirau cakap orang langsung, saya teruskan sahaja minat saya ini.

“Sejak suami saya masih ada lagi, saya sudah minat menghias dan mengubah barangan kitar semula dan membina landskap menarik di sekitar halaman rumah. Jika diikutkan banyak juga wang yang dibelanjakan, namun saya berpuas hati dan seronok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Rohani yang mempunyai seorang anak dan tiga cucu itu juga mengakui kebanyakan barangan kitar semula itu dibelinya melalui rakan-rakan atau penjual barangan kitar semula di sekitar daerah ini.

“Bukan senang nak cari barangan ini namun ada sahaja penjual barangan kitar semula yang menjualnya kepada saya. Ada tayar lama,tin, botol plastik, tempurung kelapa dan zink, semuanya saya saya gunakan bagi menghias landskap di halaman rumah saya,” katanya yang telah melakukan aktiviti itu sejak tahun 1998.

Sementara itu, dia berkata, sebelum ini dia juga sering menerima pengunjung termasuk pelancong asing yang mahu melawat dan melihat keunikan rumahnya itu, namun terhalang ketika ini selepas pandemik Covid-19 melanda.

“Sebelum ini, saya juga sering menyertai pertandingan keceriaan rumah namun ketika pandemik Covid-19 ini, saya hanya membersihkan dan menghias untuk suka-suka sahaja,” katanya.

Menurut Rohani, sempena sambutan bulan kebangsaan ini, dia juga menghias halaman rumahnya dengan corak Jalur Gemilang menggunakan barangan kitar semula sedia ada. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN