YAN: Sebuah galeri warisan yang dibina Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (IMAM) di Kampung Aceh pada 2015 selamat dalam kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepala air di Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.
Setiausaha IMAM, Abd. Rahman Yasin, 75, berkata, semasa kejadian keseluruhan kawasan Galeri Warisan Kampung Aceh yang terletak di Kem Kampung Aceh Management Centre (KAMC) dipenuhi air sedalam kira-kira satu meter.
Katanya, arus deras itu menyebabkan banyak kemudahan asas di KAMC rosak akibat dihentam kayu balak dan bongkah batu.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, keadaan arus deras menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang warisan yang disimpan dalam galeri itu.
“Antara barang warisan empat generasi masyarakat Aceh seperti pakaian, senjata, dinar emas dan serta dua kitab al-Quran tulisan tangan berusia 600 tahun.
“Bagaimanapun, selepas dua hari kejadian, beberapa penduduk dan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) datang melakukan kerja pembersihan dan mendapati tiada barang tersebut yang rosak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Aceh di sini semalam.
Abd. Rahman memberitahu, kejadian itu sungguh mengejutkannya kerana segala peralatan dan kitab al-Quran di dalam galeri itu tidak terusik.
“Ini kebesaran Allah SWT yang mahu kami menjaga peralatan di dalam galeri itu terutamanya al-Quran yang dibawa dari Acheh dan sangat bernilai,” ujarnya.
Tambahnya, difahamkan arus deras di kawasan KAMC itu terbelah dua apabila sampai ke galeri itu sehingga mengakibatkan wujud sungai baharu di belakang galeri itu.- UTUSAN











