Suami isteri terjejas PKP terpaksa meminjam jiran - Utusan Malaysia

Suami isteri terjejas PKP terpaksa meminjam jiran

SITI Azura Ariffin bersama anaknya, Muhamad Farez Iqbal yang lumpuh separuh badan di rumah mereka di Kampung Pauh Sayong Hulu dekat Kuala Kangsar. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kesempitan hidup ditempuh sepasang suami isteri yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19 sejak setahun lalu, memaksa mereka meminjam makanan daripada jiran bagi mengalas perut dua anak yang masih kecil.

Walaupun hanya sekadar telur dan nasi kosong, ia sudah memadai bagi mengisi perut dua beradik berusia lapan dan tiga tahun itu.

Menurut Siti Azura Arifin, 26, walaupun dia dan suami, Muhamad Faizal Kamarul Zaman, 27, malu untuk meminta-minta, namun, mengenangkan anak-anak yang kelaparan, mereka terpaksa membuang perasaan tersebut.

Katanya, kerana tiada pendapatan, mereka juga tidak mampu membeli susu tepung sebaliknya terpaksa membancuh susu pekat untuk anak bongsunya.

“Perasaan itu memang malu, tetapi, apa boleh buat, anak-anak lapar dan mahu makan. Hendak atau tidak memang kena tebalkan muka pinjam daripada jiran-jiran.

“Sampai satu tahap, saya terpaksa pinjam telur dua tiga biji dan goreng untuk makan dengan nasi kosong. Kalau ada kicap, anak-anak akan makan dengan kicap. Alhamdulillah, mereka boleh makan dan tidak kisah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Sayong Hulu di sini hari ini.

Menurutnya, desakan hidup mereka sekeluarga semakin meruncing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan di mana suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah tidak lagi boleh keluar bekerja.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan suaminya termasuk mengambil upah memotong rumput, mengait buah kelapa sawit dan kerja-kerja kampung bagi menambah pendapatan untuk kelangsungan hidup.

“Sejak PKP, bayaran sewa rumah serta bil-bil lain banyak yang tertunggak. Walaupun sewa rumah ini hanya RM250, kami memang tidak mampu. Mujur tuan rumah memahami dan beri kebenaran untuk bayar secara beransur-ansur,” katanya.

Tambah Siti Azura, anak sulungnya, Muhamad Farez Iqbal yang lumpuh separuh badan sejak berusia lima tahun disebabkan sindrom Guillain-Barre (GBS) mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 selain kerusi roda sumbangan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd. Yazid.

Menurutnya, disebabkan buntu dan tertekan, dia dan suami pernah terfikir untuk mengibarkan kain putih seperti kempen dalam media sosial, namun, membatalkan hasrat tersebut kerana diselubungi perasaan malu.

“Ada juga terfikir dan beritahu suami untuk kibarkan kain bagi mendapatkan bantuan barangan sebab bekalan makanan di rumah pun sudah habis.

“Tapi, kami malu untuk meminta, cuma, bila sampai satu tahap dan lihat anak-anak, memang terpaksa juga minta tolong,” katanya yang kini hamil lapan bulan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Azura di talian 011-35425327 atau sumbangan ke akaun CIMB Bank bernombor 7631515811 atas nama Siti Azura Arifin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN