KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua tenaga pengajar sebuah badan berkanun di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan mengeluarkan sijil lulus kelayakan kompetensi.
Perintah tahanan reman empat hari sehingga 8 Mei ini terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an dan 40-an ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun lalu dan wang rasuah yang diminta adalah sebagai balasan memberikan ‘kelulusan segera’ sijil kompetensi kepada setiap peserta kursus.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima antara RM900 hingga RM1,500 bagi kira-kira 31 peserta dan wang rasuah diperoleh melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.
Kata sumber itu, SPRM kini sedang meneliti sama ada penipuan sijil kompetensi ini berlaku dalam skala lebih besar dan tidak menolak kemungkinan untuk melakukan semakan terhadap setiap sijil yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan untuk mengenal pasti kesahihan sijil tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan dibuat bagi membantu siasatan. – UTUSAN










