PETALING JAYA: “Siapa yang mengenali beliau, mohon minta dia hubungi pihak syarikat dengan segera bagi menyelesaikan isu-isu yang masih belum selesai.”
Demikian kata penyanyi, Shiha Zikir yang sedang memburu salah seorang kakitangan syarikatnya yang didakwa lesap dalam tempoh perkhidmatan.
Menurut Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 39, individu berkenaan juga enggan memberikan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan beberapa isu melibatkan syarikatnya.
“Sepatutnya beliau perlu hadir ke pejabat memandangkan surat penamatan kerja masih belum dikeluarkan.
“Risau dengan keadaan beliau memandangkan dia sangat tidak memberi kerjasama yang baik,” katanya di Threads.
Turut mendedahkan identiti individu terbabit, Shiha turut mendakwa pekerjanya itu telah menyalahgunakan kenderaan syarikat atas tujuan peribadi sehingga menyebabkan kemalangan.
“Kereta syarikat yang digunakan sehingga terlibat dalam kemalangan atas tujuan peribadi masih belum diselesaikan dari segi ganti rugi kepada pihak syarikat,” kongsinya.
Meskipun pihaknya telah memberikan peluang, Shiha berkata individu berkenaan gagal memberikan kerjasama untuk menyelesaikan isu tersebut dengan baik.
“Pihak syarikat juga sudah sedaya upaya memberi peluang untuk menyelesaikan masalah secara baik, namun tidak diberi kerjasama yang sepatutnya,” jelasnya.










