Warga Ghana direman tujuh hari memandu tanpa lesen

Warga Ghana direman tujuh hari memandu tanpa lesen

SUSPEK (baju ungu) dikawal ketat polis selepas permohonan reman di Mahkamah Sesyen, Alor Gajah, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga Ghana berusia 32 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kemalangan jalan raya melibatkan dua kereta di Kilometer 221.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Mac lalu.

Perintah reman sehingga 11 Mei ini dikeluarkan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin selepas permohonan dikemukakan polis hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, kejadian berlaku pada 3 Mac 2026 kira-kira pukul 11.30 pagi membabitkan sebuah Perodua Myvi dinaiki enam sekeluarga termasuk seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin serta Honda City dipandu suspek.

“Kedua-dua kenderaan sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur sebelum Honda City dipandu suspek hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berada di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zaki berkata, pemandu dan beberapa penumpang Perodua Myvi mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan manakala suspek turut cedera.

Katanya, selepas kejadian suspek tidak memberikan kerjasama kerana gagal membuat laporan polis dan menghilangkan diri.

“Hasil risikan dan siasatan lanjut, lelaki terbabit berjaya dikesan di sekitar Serdang, Selangor sebelum ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya, suspek tidak memiliki lesen memandu, selain ujian saringan awal air kencing menunjukkan positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN