TUMPAT: Seorang peniaga kain didenda RM9,000 dan penjara 22 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tumpat di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan sepucuk pistol tiruan di rumahnya dekat sini, dua tahun lalu.
Mohd. Zulkarami Ruslan, 41, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki senapang angin buatan sendiri tanpa lesen yang sah serta sepucuk pistol tiruan di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Palas, Wakaf Bharu kira-kira pukul 1 pagi, 16 November 2024.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi pertuduhan memiliki senapang angin buatan sendiri dan denda RM4,000 bagi pertuduhan memiliki pistol tiruan. Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan. – UTUSAN










