Peniaga 5 negeri buka pintu buat pelanggan - Utusan Malaysia

Peniaga 5 negeri buka pintu buat pelanggan

MUHAMMAD Faqih Mohd. Farid membersihkan kedai gunting rambutnya di Teluk Intan pada 4 Julai 2021 setelah kerajaan membenarkan operasi menggunting rambut pada fasa kedua PKP bermula esok. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Puluhan ribu peniaga bukan keperluan di lima negeri yang memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara lega apabila perniagaan mereka dibenar membuka pintu buat pelanggan bermula hari ini.

Langkah tersebut memberi harapan buat mereka untuk memperoleh pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Di PAHANG, pengusaha pusat cucian kereta gembira selepas buntu lebih sebulan memikirkan nasib hilang punca pendapatan tetapi terpaksa terus membayar sewa kedai, gaji pekerja serta menyara diri dan keluarga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Cuci Kereta Malaysia (PCKM), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ahli-ahlinya memang menunggu kebenaran tersebut bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Biarpun kebenaran ini hanya di lima negeri terbabit, namun ia sekurang-kurangnya membantu pengusaha pusat cuci kereta di negeri terlibat untuk kembali bernyawa.

“PCKM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan termasuk Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mendengar keluhan pengusaha pusat cuci kereta,” katanya di sini semalam.

Di PERLIS, pengusaha kedai gunting rambut berazam untuk bekerja lebih keras bagi mengumpul kembali pendapatan yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Malah, sejak awal pagi lagi, pemilik kedai gunting rambut Bombarber, Ammar Farhan Anur,30, dan rakan kongsinya, Mohd. Ramzon Ismail,30, bergegas ke salon di Jalan Syed Alwi di sini bagi membuat persediaan sebelum kedai kembali beroperasi hari ini.

Ammar Farhan berkata, dia lega apabila operasi kedai gunting rambut kembali dibenarkan di saat sudah berkira-kira untuk menutup premis yang diusahakan sejak setahun lalu jika larangan tersebut berlarutan hingga bulan depan.

“Sepanjang kedai ditutup, pendapatan saya dan rakan terjejas teruk selain terpaksa menanggung pelbagai komitmen lain. Saya kehilangan pendapatan hampir RM10,000 sepanjang sebulan kedai ditutup.

“Jika sebulan atau dua bulan lagi kedai tidak dibenarkan operasi, kami mungkin sudah ‘bungkus’. Ada rakan-rakan lain juga sudah mengambil keputusan menutup kedai.

“Selepas mengetahui kedai gunting rambut kembali dibenarkan beroperasi dalam fasa kedua PPN, saya kembali bersemangat,” katanya.

Di PERAK, beberapa tukang gunting rambut di Teluk Intan turut gembira dengan pengumuman kerajaan itu.

Tukang gunting rambut di Defred Barbershop di sini, Muhammad Faqih Mohd. Farid, 26, berkata, dia sudah tidak sabar untuk memulakan perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi sejak sebulan lalu.

Katanya, dia mengemas kedai gunting rambutnya semalam untuk menerima pelanggan semula hari ini.

“Saya rasa keputusan kerajaan seperti memberi nyawa kepada kami,” katanya.

Sementara itu, pemilik pusat mencuci kenderaan Fikri Cleaning Service di Parit, Mohamad Fikri Hakim Mohd. Alwi, 28, berkata, pengumuman itu bukan sahaja menggembirakannya tetapi buat pekerjanya yang bergantung kepada pendapatan harian.

“Dengan berita semalam (kelmarin) seperti mati hidup balik. Jika boleh kerja adalah gaji dan duit untuk terus hidup seharian,” katanya.

Di Ipoh, Yang Dipertua Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Asmadi Teh berkata, kebenaran terbaru itu disifatkan sebagai peluang kedua untuk peniaga kembali bernafas setelah terkesan dan menerima impak buruk akibat pandemik Covid-19.

Katanya, tiada apa yang lebih ditunggu golongan itu selain dibenarkan untuk beroperasi bagi mengelakkan kesan lebih buruk termasuk gulung tikar.

“Bagi pengusaha kedai gunting rambut, cuci kereta dan kedai buku serta alat tulis, kebenaran ini adalah apa yang mereka tunggu-tunggu setelah lama operasi perniagaan ditutup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×