Nasib baik sempat mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) - Utusan Malaysia

Nasib baik sempat mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)

AWANG Hashim (dua dari kiri) ketika melawat Shukor Hassan, 52, bagi menyampaikan bantuan peralatan pemulihan dan sumbangan kotak prihatin orang berinsurans Perkeso di Teluk Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang pemandu e-hailing, Shukor Hassan, 52, yang lumpuh sebelah kiri badan ekoran diserang angin ahmar bersyukur kerana bakal memperoleh pencen ilat serta bantuan-bantuan lain daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bapa kepada enam anak berusia 27 hingga enam tahun itu berkata, dia yang mencarum dan berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak setahun lalu kini hanya terlantar dan tidak mampu bekerja sejak Mac lalu.

“Nasib baik saya tergerak hati untuk mendaftar di bawah SKSPS tahun lalu selepas menjadi pemandu e-hailing selama tiga tahun.

“Sekurang-kurangnya, apabila saya tidak dapat bekerja pada masa ini, ada juga bantuan yang diterima daripada Perkeso untuk ahli keluarga saya termasuk tiga anak yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Teluk Bahang, di sini hari ini.

Terdahulu, Shukor menerima bantuan peralatan pemulihan dan sumbangan kotak prihatin kepada orang berinsurans daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Menurut Shukor, orang ramai perlu mencarum bersama Perkeso untuk kesenangan keluarga jika berlaku perkara tidak diingini.

“Mencarumlah untuk masa depan keluarga kerana kita tidak tahu apa akan terjadi ketika kita bekerja,” katanya.

Dalam pada itu Awang berkata, seramai 2.72 juta Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) telah berdaftar di bawah SKSPS.

Beliau berkata, skim tersebut menyediakan perlindungan kepada OBBS daripada kemalangan atau penyakit pekerjaan yang berlaku semasa atau ketika menjalankan aktiviti pekerjaan.

“Perlindungan yang disediakan meliputi faedah tunai di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

“Antara faedah tersebut adalah faedah perubatan; hilang upaya sementara; hilang upaya kekal; elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan banyak lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN