KUALA NERUS: Bapa kepada remaja lelaki yang dilaporkan hilang, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, akan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa bagi melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa stesen minyak di Besut, dekat sini bagi mengesan anaknya, Ahmad Azreeq Zafreen, 19.
Ibu saudara mangsa, Noriza Awang berkata, ibu bapa Ahmad AzreeqZafreen kini dalam proses memohon kebenaran melalui polis di Balai Polis Kampung Raja, Besut bagi membolehkan mereka meneliti rakaman CCTV di kawasan berkenaan.
Katanya, langkah itu diambil selepas pelbagai usaha pencarian yang dijalankan di lokasi terakhir remaja tersebut dilihat belum menemukan sebarang petunjuk.
“Setakat ini, pelbagai usaha pencarian sudah dilakukan oleh pihak berkuasa di lokasi terakhir Ahmad Azreeq Zafreen dikesan, namun belum menemukan sebarang petanda. Malah, anjing pengesan turut digunakan bagi membantu operasi mencarinya, usaha itu juga belum berhasil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hasrat tujuh sekeluarga dari Kampung Batin ,Seberang Takir untuk bercuti di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila anak sulung mereka dilaporkan hilang dan gagal dihubungi sejak Khamis lalu.
Ahmad Azreeq Zafreen yang menunggang motosikal jenis Yamaha R15 dilaporkan kali terakhir dikesan di stesen minyak Petron Fikri, Setiu sebelum kehilangan jejak.
Kehilangan remaja itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga yang kini berharap sebarang petunjuk baharu dapat diperoleh bagi membantu mengesan keberadaannya. – UTUSAN











