MyUni bantu lepasan SPM, lepasan STPM masuk IPTS - Utusan Malaysia

MyUni bantu lepasan SPM, lepasan STPM masuk IPTS

Amir Hamzah Md. Isa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Portal MyUni bakal membantu dan memudahkan lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pembelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Portal itu diwujudkan oleh Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), sebuah persatuan kebangsaan yang dianggotai 50 institusi pengajian tinggi milikan usahawan pendidikan bumiputera.

Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md. Isa berkata, portal itu diperkenalkan bagi menyediakan sistem permohonan pelajar ke IPTS secara digital, bersepadu dan berpusat yang pertama seumpama di negara ini.

Katanya, berbanding proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang melalui UPU Online kelolaan Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, permohonan kemasukan pelajar ke IPTS sebelum ini dilaksanakan secara konvensional, tidak berpusat dan dikendalikan oleh institusi masing-masing.

“Namun, melalui pendekatan ini, pelajar yang berminat melanjutkan pengajian di IPTS atau mereka tidak mendapat tempat di IPTA kini boleh mendapat maklumat lengkap dengan mudah, seterusnya membuat pilihan institusi.

“Inisiatif ini juga merupakan bukti komitmen berterusan PKIBM dalam membantu kerajaan meningkatkan akses pelajar lepasan sekolah ke pendidikan tinggi khususnya kepada mereka yang tidak berpeluang mendapat tempat di IPTA,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini, hari ini.

Dibangunkan dengan kerjasama rakan strategik teknologi, Iklanika Sdn. Bhd., portal MyUni menawarkan akses secara percuma kepada semua lepasan sekolah.

Pada masa sama, Amir berkata, portal ini juga merupakan hasil inovasi dan adaptasi norma baharu PKIBM dalam mendepani ketidaktentuan semasa serta cabaran pasca pandemik Covid-19.

“Secara umumnya, kadar yuran pengajian yang dikenakan oleh IPT milikan usahawan bumiputera PKIBM adalah berpatutan dan langsung tidak membebankan keluarga khususnya ibu bapa lepasan sekolah.

“Semua IPT yang menyertai MyUni merupakan institusi pengajian tinggi yang diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi manakala program-program pengajian yang ditawarkan melalui sistem ini pula mendapat perakuan dan akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA),” katanya.

Amir turut menjelaskan, lepasan sekolah boleh mengakses semua kursus pengajian (diploma dan ijazah sarjana muda) yang ditawarkan oleh institusi yang mengambil bahagian dan mendapat maklumat mengenai sesi kemasukan setiap institusi.

“Lepasan sekolah boleh memadankan keputusan peperiksaan SPM dan STPM, minat dan kecenderungan dengan program-program pengajian yang ditawarkan. Bagi memudahkan lepasan sekolah membuat keputusan, mereka juga boleh menetapkan lokaliti sesebuah institusi selain mendapat maklumat yang jelas berhubung jumlah yuran dan tempoh masa pengajian.

“Sistem MyUni secara automatik akan memadankan kursus-kursus pengajian yang bersesuaian dengan pilihan lokaliti institusi, minat, kecenderungan dan keputusan peperiksaan. Berdasarkan saringan itu, satu senarai lengkap program pengajian akan dipaparkan dan lepasan sekolah boleh memohon sehingga lima program pengajian,” katanya.

Katanya lagi, semua permohonan yang direkodkan dalam sistem akan dihantar kepada institusi yang berkenaan dan sekiranya permohonan tersebut memenuhi syarat dan kelayakan, pihak institusi akan mengeluarkan surat tawaran melalui sistem MyUni seterusnya pelajar boleh mendaftarkan diri di kampus institusi pada masa yang ditetapkan.

“Melalui portal ini juga, lepasan sekolah berpeluang mendapatkan maklumat mengenai peluang pembiayaan pendidikan yang ditawarkan agensi-agensi kerajaan dan institusi kewangan yang mengambil bahagian.

Sejak dibuka pada penghujung Mei lalu, portal MyUni telah dikunjungi kira-kira 13,000 pengunjung dan sebanyak lebih 500 lepasan SPM dan STPM telah mendaftar sebagai pengguna MyUni.

Sehingga kini, sebanyak 50 IPTS telah mengambil bahagian dalam MyUni dan jumlahnya dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

IPT yang menganggotai PKIBM terdiri daripada lima buah IPTS bertaraf universiti, 14 kolej universiti dan 31 kolej dari seluruh negara dengan kapasiti 150,000 tempat pengajian serta menawarkan program-program berkualiti tinggi, diiktiraf dan menepati keperluan pasaran pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya