KUALA LUMPUR: Berhati-hati ketika `membawang’ kerana setiap kata-kata yang tidak enak, mengancam, mengaibkan orang lain boleh membawa seseorang itu didakwa dan dipenjara mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
`Membawang’ atau bergosip sebenarnya jenayah dan jika berlaku di media sosial Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) boleh mengklasifikasikannya sebagai jenayah buli siber.
SKMM mempunyai Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia (AKM) 1998 iaitu penyebaran kandungan lucah, palsu, mengancam, jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Mengikut akta tersebut, seseorang itu boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memantau secara agresif semua platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta aplikasi WhatsApp yang rancak dengan aktiviti jenayah yang boleh diklasifikasikan sebagai buli siber.
“Mereka yang gemar menghabiskan masa di media sosial jangan ingat boleh sesuka hati membuat komen sehingga menjejaskan orang lain.
“Tulisan-tulisan atau komen ala gosip, peras ugut, memalukan individu lain jika disabit kesalahan berisiko dipenjara sehingga setahun,” kata SKMM.
Kenyataan tersebut mendedahkan, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 3,772 aduan diterima berhubung jenayah buli siber.
Bagaimanapun, kebanyakan aduan tersebut berlaku pada platform media sosial yang berpangkalan d uar negara.
Jelas kenyataan itu, aduan tersebut merangkumi gangguan seksual, ancaman serta penyalahgunaan maklumat butiran peribadi bagi tujuan tidak `menyenangkan’ orang lain.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 180 kes disiasat SKMM berhubung penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 AKM 1998. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” jelas kenyataan.
Mengulas lanjut, kenyataan tersebut memberitahu, bagi aduan di luar bidang kuasa SKMM, siasatan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan lain termasuk polis.
“SKMM juga kerap dan akan memberi bantuan teknikal kepada agensi lain yang memerlukan bantuan menyiasat kes-kes jenayah yang berlaku di laman sosial,” jelas SKMM.
Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan, SKMM juga bekerjasama dengan polis untuk menurun atau memadamkan apa-apa posting yang melanggar peruntukan undang-undang.
Kata kenyataan itu lagi, terdapat segelintir kes, individu mencipta akaun palsu bagi menulis komen yang berniat tidak baik terhadap individu lain.
“Antara ciri-ciri akaun palsu, individu berkenaan menggunakan nama lain, maklumat peribadi tidak tepat, senarai rakan terlalu sikit, tiada aktiviti mengenai kisah peribadi dan lain-lain,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya dengan akaun-akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan tidak baik termasuk penipuan dan membangkitkan isu-isu perkauman.
Sementara itu, peguam, Arik Zakri Abdul Kadir berkata, orang ramai diingatkan untuk bertanggungjawab dengan setiap pautan atau kiriman dimuat naik di media sosial kerana setiap kata-kata yang berunsur mengaibkan dan mengancam boleh diambil tindakan mahkamah menerusi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 dan undang-undang sivil.
Seksyen 114A memperuntukan mana-mana pihak yang dituduh mempunyai hak untuk menangkis dakwaan itu di mahkamah dan terserah pada mahkamah untuk memberikan justifikasi apa yang perlu diputuskan.
“Dalam undang-undang, jangan ingat pelaku akan terlepas apabila tidak menamakan seseorang mangsa di media sosial kerana secara implikasi dia masih boleh disabitkan kesalahan.
“Kalau kes dibawa ke mahkamah, hakim bukannya naif, dia boleh ambil semua bukti daripada banyak pihak dan melihat adakah kenyataan itu merujuk kepada mangsa ataupun tidak,” katanya. – UTUSAN











