fbpx

1 Disember 2020, 8:14 am

  TERKINI

Warga emas nyaris ditenggelami banjir kilat

Ramlah Latif diselamatkan pasukan penyelamat dalam kejadian banjir kilat di Kampung Bandar Hilir, Sik semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang warga emas yang tidak boleh bergerak nyaris lemas apabila air memasuki rumahnya sehingga hampir menenggelamkan katil tempat tidurnya di Kampung Bandar Hilir di sini semalam.

Ramlah Latif, 89, berkata, dia bernasib baik diselamatkan  anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Sik dan Bomba Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM).

“Nasib baik anggota penyelamat sampai awal, jika tidak saya tidak tahu bagaimana nasib saya yang tidak boleh bergerak,” katanya di sini hari ini.

Menurut wanita itu, dia dimaklumkan paras air meningkat mendadak pada pukul 4 petang susulan hujan lebat.

Ketika kejadian, cerita Ramlah, dia berada di rumah bersama lima  ahli keluarga lain dan mereka saling membantu menyelamatkan diri.

Seramai 25 penduduk  terlibat dalam banjir kilat itu.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Hujung Bandar, Kampung Bandar Hilir, Kampung Changhai, Kampung Kota Bukit, Kampung Parit dan Kampung Langguk.

Seorang lagi penduduk, Nazlina Abd. Majid, 55, berkata, rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter dalam banjir kilat itu.

“Saya terkejut dan tidak menyangka hujan lebat luar biasa  menyebabkan rumah saya dinaiki air dengan cepat.

“Keadaan tersebut menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik dan barangan lain,” katanya.

 Sementara itu, Pengarah BSYJM, Mahadzir Abdul Rahim, berkata, banjir kilat itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat lebih dua jam.

“Kebanyakan rumah yang terlibat dengan banjir kilat itu terletak di kawasan rendah,” katanya. – UTUSAN