Rizab air Johor dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Rizab air Johor dijangka meningkat

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Rizab bekalan air negeri ini dijangka terus meningkat menjelang 2026 menerusi rancangan beberapa lagi projek pembinaan loji baharu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, terdapat empat pembinaan dan menaik taraf loji sedia ada sudah disiapkan seperti Loji Rawatan Air (LRA) Buloh Kasap, LRA Bukit Serampang, LRA Sungai Lebam dan LRA Pemanis.

“Ranhill SAJ komited menyediakan kapasiti rizab bekalan air mencukupi dan berusaha melaksana beberapa program menaik taraf serta membina LRA baharu seperti digariskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Ini termasuk projek sedang dalam proses pembinaan dan dilaksanakan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) seperti LRA Layang 2 Fasa 1 berkapasiti 160 juta liter sehari (JLH) dan LRA Pagoh berkapasiti 40 JLH,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi soalan dikemukakan Tan Chen Choon (PH-Jementah) dan Tan Hong Pin (PH-Skudai) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, berdasarkan rekod Ranhill SAJ, sejak 2016 sehingga tahun lepas, penghasilan air terawat menunjukkan peningkatan sebanyak 18.39 peratus berbanding dengan permintaan air meningkat sebanyak 20.48 peratus.

Tambahnya, permintaan air pada 2030 diunjurkan meningkat sehingga 28.18 peratus dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan penduduk. 

“Namun begitu, projek-projek infrastruktur yang dirancang kerajaan, maka penghasilan air terawat pada 2030 dapat diunjurkan menyaksikan peningkatan sehingga sebanyak 20.63 peratus,” katanya.

Hasni berkata, Johor memiliki beberapa sungai utama iaitu Sungai Muar, Sungai Batu Pahat, Sungai Johor, Sungai Ulu Sedili Besar, Sungai Mersing serta Sungai Endau yang menjadi sumber bekalan air mentah LRA.

“Terdapat 45 LRA memperoleh sumber bekalan air permukaan (sungai dan empangan) iaitu membekalkan air bersih kepada pengguna sebanyak 663,261.14 juta liter setahun atau 1,817.15 juta liter sehari.

“Sebagai tambahan, purata hujan tahunan juga tinggi iaitu kira-kira 2,000mm hingga 2,500mm setahun. Secara tidak langsung, ini menjanjikan sumber air yang mencukupi bagi keperluan loji rawatan air,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya