Empat kawasan merah dadah diisytihar hijau - Utusan Malaysia

Empat kawasan merah dadah diisytihar hijau

ZULKIFLI Abdullah melakukan tinjauan di Pasar Bisik sempena Program Lestari di Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam. - FOTO/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Model projek rintis yang digunakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah berjaya menukar empat daripada 12 kawasan yang sebelum dikategorikan sebagai merah menjadi zon hijau.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, empat lokasi terbabit adalah Felda Gugusan Hulu Selangor dan Sabak Bernam di Selangor, Felda Lubuk Merbau, Kedah dan Felda Keratong 1, 2 dan 3 di Pahang.

Katanya, empat lagi lokasi membabitkan Kuala Kedah di Kedah; Setapak di Wilayah Persekutuan; Johor Bahru dan Batu Pahat di Johor pula dikategorikan sebagai lokasi kuning.

Bagaimanapun, tambahnya, Langkawi, Kedah; Petaling Jaya Selatan, Wilayah Persekutuan; Kuala Dungun di Terengganu dan Pengkalan Chepa di Kelantan masih berstatus merah.

“Kita akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap lokasi merah dan kuning sehingga hujung tahun ini supaya warnanya dapat bertukar sekali gus bersih daripada penyalahgunaan dadah.

“Hasil kajian model projek rintis yang bermula Julai tahun lalu ini akan digunakan di 155 lokasi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) seluruh negara bermula tahun depan selaras misi Dadah Terkawal 2025,” katanya selepas menghadiri Program Lestari di Kuala Muda, di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata, tujuh lokasi dikenal pasti sebagai kawasan merah yang berisiko tinggi di Pulau Pinang.

Katanya, lokasi itu membabitkan empat daerah Seberang Perai Tengah manakala masing-masing satu lokasi di Seberang Perai Utara, Timur Laut dan Barat Daya.

“Lokasi terbabit melibatkan penyalahgunaan dan penagihan dadah yang tinggi, namun kita dapati kebiasaannya dadah diproses di tempat lain dan penggunaannya di tempat lain.

“Justeru, menerusi pembabitan kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan terbabit, usaha ini dapat memberi lebih impak kepada komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya